Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR – Datuk Lee Chong Wei disahkan layak secara merit ke kejohanan badminton Siri Super Akhir Dunia di Dubai pada 14 hingga 18 Disember ini selepas menduduki tempat ketujuh ranking Siri Super yang dikeluarkan semalam.

Pemain No.1 dunia itu tidak menyertai tiga kejohanan Siri Super terakhir selain tersingkir awal daripada Terbuka Perancis akibat kecederaan hamstring yang menyebabkan mata yang dikumpulnya untuk ranking Race to Dubai itu terjejas.

Jaguh negara itu mengumpul 43,510 mata selepas memenangi tiga daripada enam kejohanan Siri Super pada awal musim ini iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun dan pencapaian itu sudah cukup untuk melayakkannya ke kejohanan penutup kalendar Siri Super itu.

Jan O Jorgenson dari Denmark menerajui persaingan ke Dubai selepas menghuni tempat teratas ranking Siri Super dengan 65,440 mata, manakala bintang China, Chen Long layak ke kejohanan tersebut menggunakan wild card hasil memenangi pingat emas Sukan Olimpik Rio Julai lalu.

Turut mara Son Wan Ho dari Korea Selatan dengan 60,390 mata, Tian Houwei (China, 57,410 mata), Ng Ka Long (Hong Kong, 51,960 mata), Viktor Axelsen (Denmark, 46,820 mata), Marc Zwiebler (Jerman, 44,770 mata).

Sementara itu, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen tetap menaruh keyakinan terhadap prestasi Chong Wei walaupun tahap kecergasan pemain kelahiran Bagan Serai, Perak itu tidak begitu bagus ketika ini.

“Kita sedia maklum bahawa Chong Wei mengalami kecederaan pada Oktober lalu selain tidak sihat sejak minggu lepas. Halangan tersebut menyebabkan dia sukar untuk membuat persiapan terbaik.

“Bagaimanapun saya yakin dia boleh memberikan cabaran. Lihat sahaja kebangkitannya merampas semula takhta No. 1 dunia dalam tempoh setahun setengah. Sungguh menakjubkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Liga SS Purple musim 2016/17, semalam.

Beregu utama negara Goh V Shem dan Tan Wee Kiong turut layak secara merit ke kejohanan itu, yang mengehadkan hanya kepada lapan penyertaan masing-masing untuk acara beregu dan individu berdasarkan kutipan mata daripada 12 kejohanan Siri Super setiap tahun.

LEAVE A REPLY