Bas sekolah percuma
Foto oleh jackhydraulic.blogspot

Kementerian Wilayah Persekutuan sedang berunding dengan syarikat bas Nadi untuk menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma untuk kanak-kanak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu negara mulai tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkhidmatan itu akan diuruskan sepenuhnya oleh Nadi, dan kos ditanggung oleh kementerian.

“Jika mencapai persetujuan, bas sekolah percuma tersebut akan diselaraskan dengan warna-warna dan tema tertentu untuk kegunaan eksklusif anak-anak di PPR,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah di Apartment Seri Ceria 1 dan 2 untuk kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Beliau berkata selain itu, perkhidmatan bas percuma untuk ke stesen LRT juga turut dibincangkan dengan pengendali bas tersebut untuk kemudahan penduduk PPR.

Sementara itu, DBKL telah menawarkan sebanyak 632 unit apartment PPR di Blok G dan H di pinggir Bukit Jalil yang dinamakan Apartment Seri Ceria kepada pekerja yang layak, untuk membantu mereka memiliki rumah.

Terdahulu, Tengku Adnan dalam ucapannya berkata sehingga kini, sebanyak 522 unit telah ditawarkan kepada pembeli melalui pembiayaan daripada Agensi Pembiayaan Awam Sektor Perumahan, pinjaman bank dan KWSP.

“DBKL juga telah menetapkan harga rumah-rumah tersebut sebanyak RM42,000 seunit, dengan keluasan 650 kaki persegi, 3 bilik tidur serta 2 bilik mandi.

“Unit-unit apartment tersebut telah diserahkan kepada kakitangan DBKL melalui undian dan surat tawaran telah dikeluarkan pada bulan Ogos,” katanya.

Selain itu, beliau berkata 330 unit apartment di Apartment Mutiara Magna, Kepong dan 144 unit di Warisan City View Apartment, Jalan Cheras, juga telah dijual kepada kakitangan DBKL.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata, 12 lot tempat letak kereta bertingkat untuk PPR akan disiapkan pada tahun hadapan. Ia akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, dewan orang ramai, kedai-kedai runcit dan medan selera.

Projek yang menelan belanja sebanyak RM408 juta melibatkan PPR Pekan Kepong, PPR Intan Baiduri, PPR Raya Permai, PPR Seri Pantai, PPR Kampung Baru Air Panas, PPR Hiliran Ampang Taman Mulia, PPR Desa Tun Razak, PPR Desa Petaling, PPR Semarak, serta PPA (Projek Perumahan Awam) di Desa Rejang, Seri Kota dan Seri Sabah.

LEAVE A REPLY