KSCIP

UMUM mengetahui Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang diumumkan penubuhannya pada 1 Mac 2017 sempena lawatan rasmi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, beroperasi bermula 30 Mei 2017.

KSCIP yang mempunyai kaitan dengan Pusat Global Bagi Memerangi Ideologi Ekstremis (GCCEI) merupakan inisiatif bagi menggerakkan kerjasama strategik antara masyarakat antarabangsa dalam usaha menangani keganasan.

Pewujudan pusat itu menunjukkan Malaysia berada pada landasan yang tepat dalam memerangi keganasan dan ia sekali gus menjadi platform bagi menggerakkan usaha untuk mempromosi idea keamanan sejagat berdasarkan konsep wasatiyyah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha untuk memerangi keganasan tidak hanya mencukupi dengan kaedah ketenteraan dan undang-undang sahaja tetapi mesti menggunakan ‘soft approach’ melalui jiwa dan minda.

Jelasnha, KSCIP akan menggembleng para ilmuwan, Menteri Pertahanan ASEAN serta pihak perisikan antarabangsa sebagai persiapan untuk memerangi ideologi kumpulan ekstremis.

Bila disebut ideologi ekstremis, ancaman militan atau kumpulan pengganas pasti menjadi keutamaan bagi KSCIP.

Malaysia pada sejarahnya sendiri telah melalui pelbagai ancaman kumpulan militan. Antaranya, al-Maunah, al-Qaeda, Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

Kini, Malaysia turut menerima ancaman kumpulan militan Daesh yang menjadi isu besar di seluruh dunia ketika ini.

Berbeza dengan ancaman gerakan-gerakan militan sebelum ini, Daesh sebenarnya dianggap lebih berbahaya.

Ini kerana, Daesh menggunakan platform media sosial untuk mempengaruhi dan merekrut ahli baharu termasuk mengeluarkan arahan lalu terus melakukan serangan.

Sebelum ini banyak pihak memandang ringan ancaman Daesh di Malaysia.

Ia bersandarkan kepada faktor sikap sebahagian besar umat Islam di negara ini yang sederhana dan tidak percaya kumpulan tersebut akan melakukan serangan di Malaysia.

Namun, letupan bom tangan di pusat hiburan Movida di Puchong, Selangor pada 28 Jun 2016 disahkan didalangi kumpulan pengganas Daesh menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Ia serangan pertama kumpulan itu di Malaysia dan membawa mesej jelas bahawa tidak ada negara di dunia ini yang boleh bebas 100 peratus daripada serangan pengganas.

Negara maju dan hebat seperti Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Turki pun tidak terkecuali menjadi sasaran keganasan kumpulan tersebut.

Tempat suci umat Islam di Madinah juga tidak terlepas diserang oleh kumpulan militan tersebut.

Jika dilihat di negara ini, tangkapan individu yang mempunyai kaitan dengan gerakan Daesh semakin meningkat.

Tahun 2013 mencatatkan tangkapan seramai empat orang, diikuti 34 tangkapan pada tahun 2014.

Statistik tangkapan pada 2015 pula menunjukkan seramai 82 individu ditangkap manakala pada 2016 mencatatkan jumlah tangkapan yang sangat ramai iaitu mencecah 292 individu.

Peningkatan dengan kadar melebihi 200 peratus pada 2016 berbanding tahun sebelumnya adalah satu angka yang amat membimbangkan.

Pada 28 Mei 2017, Angkatan Tentera Filipina melancarkan serangan roket berpandu dari helikopter ke arah sasaran militan dalam usaha menamatkan pengepungan di bandar selatan Marawi.

Dalam serangan itu, tiga rakyat negara ini yang merupakan pengikut kumpulan militan Daesh telah terbunuh.

Siapakah kumpulan yang telah menyerang dan menawan Marawi?

Kumpulan yang menyerang Marawi dipanggil Maute kerana dipimpin oleh Abdullah Maute.

Dilaporkan ia dianggotai oleh bekas militan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kumpulan Abu Sayyaf.

Kumpulan ini dikatakan ditubuhkan pada tahun 2013 asalnya dikenali sebagai Islamic State of Lanao dan Dawlah Islamiah Lanao del Sur.

Ia dikatakan telah memberikan baiah pada Daesh dan menggunakan bendera serta manual kumpulan itu.

Buat masa ini, mereka adalah ancaman terbesar di Asia Tenggara.

Tetapi penglibatan rakyat Indonesia dan Malaysia membimbangkan kerana sasaran mereka bukan sahaja di medan Iraq dan Syria tetapi di mana-mana tempat di Asia Tenggara.

Lebih-lebih lagi apabila banyak wilayah Daesh tumbang di Iraq serta Syria, ada di antara mereka yang pulang ke tanah air iaitu Malaysia dan Indonesia.

Maka mereka pasti akan menjadikan negara sendiri sebagai sasaran.

Maknanya mudah, risiko dan kemungkinan letupan bom pengganas boleh berlaku di mana-mana di Asia Tenggara.

Bukan saja di selatan Filipina dan selatan Thailand. Letupan sebenarnya telah berlaku di Jakarta, Indonesia dan Bangkok.

Sebelum ini pihak keselamatan Malaysia sendiri telah mematahkan serangan di Kuala Lumpur.

Oleh itu, adakah Daesh boleh dibiarkan berada di muka bumi ini?

Akibat kerja gila merekalah menyebabkan umat Islam seluruh dunia menerima tempias sehingga Islam dikaitkan dengan agama yang menganjurkan keganasan.

Adakah apa yang dilakukan Malaysia melalui KSCIP ini adalah langkah tepat?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyeru mahu umat Islam menolak sepenuhnya faham ekstrem.

Masyarakat perlu menjadikan apa yang berlaku di Marawi dan seluruh dunia sebagai pengajaran.

Jika dilihat kepada ancaman Daesh, mungkin nampak agak berat peranan yang perlu dimainkan KSCIP dalam usaha membendung ancaman kumpulan militan itu.

Dunia hari ini hakikatnya masih tercari-cari formula terbaik bagi menangani pelbagai unsur-unsur keganasan dan ekstremisme.

Kepesatan dan kecanggihan sistem teknologi maklumat dengan segala perisian masa kini turut menyumbang kepada penyebaran ideologi dan pemikiran songsang yang begitu mudah menyerap masuk dalam minda masyarakat terutamanya kepada generasi muda.

Sebab itulah ideologi keganasan dan ekstremisme tidak hanya boleh ditangani dengan cara ketenteraan mahupun pendekatan konvensional menggunakan kekerasan.

Ideologi dan pemikiran songsang hanya boleh diubati dengan menyediakan naratif-naratif atau jawapan-jawapan yang rasional berteraskan suluhan ilmu yang benar dan asli.

Adakah KSCIP mampu menangani ancaman Daesh di negara ini?

Segalanya tidak mustahil.

Sudah tentu KSCIP boleh dan seharusnya bekerjasama dengan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman untuk sama-sama menangani Daesh.

Kemampuan Malaysia menangani ancaman pengganas Daesh sudah mendapat pengiktirafan dunia apabila banyak negara luar menyatakan minat mereka terhadap usaha kerajaan mewujudkan Pusat Tindakan Mesej atau Counter Messaging Centre (CMS).

Negara-negara luar yang mengadakan lawatan memuji serta yakin dengan CSM yang ditubuhkan bagi menangkis propaganda pengganas Daesh daripada mempengaruhi rakyat Malaysia.

Di dunia pada masa ini hanya ada dua sahaja CMS iaitu di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara kita Malaysia.

Kepada rakyat Malaysia, ingatlah, Daesh bukan pejuang Islam.

Perjuangan mereka juga bukannya satu jihad dan kematian mereka bukanlah syahid.

Sebaliknya Daesh adalah pengganas yang mengaku Islam dan datang daripada kelompok manusia jahat yang memperalatkan Islam untuk memenuhi nafsu mereka.

Akhirnya, siapa yang akan rugi? Umat Islam pasti dapat menilainya sendiri.

Tentunya menjadi antara peranan KSCIP juga dalam menyakinkan rakyat Malaysia supaya tidak terjebak dengan Daesh.

Kita tunggu keberkesanan KSCIP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here