qatar

Pada 5 Jun lalu politik dunia digemparkan dengan tindakan Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar. Langkah ini turut diikuti oleh beberapa negara lain termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir. Hubungan yang putus ini bukan melibatkan soal diplomatik sahaja tetapi melangkaui hal laluan udara dan laut di samping kegiatan ekonomi. Asas paling jelas kepada keputusan Arab Saudi ini ialah Qatar dituduh menyokong kegiatan kumpulan pengganas dan dilihat mempunyai hubungan mesra dengan negara yang dianggap musuh dalam kalangan negara-negara Teluk, Iran.

Namun begitu, walaupun ekonomi Qatar kini sedang dipulaukan oleh negara-negara berkenaan dan ramalan awal menjangkakan Qatar bakal berdepan krisis ekonomi yang kemudian boleh membawa kepada hal berkaitan kekurangan bekalan makanan, namun selepas hampir tiga minggu krisis berlangsung, segala ramalan awal itu kelihatan meleset, malah pasaran kewangan dan saham di Qatar juga telah mula stabil dan menunjukkan prestasi positif, walaupun ketika permulaan krisis berlaku kerugian pasaran, tetapi itu hanya satu kesan sementara yang dapat diatasi.

Kerajaan Qatar dalam beberapa kenyataan yang dikeluarkan menyatakan negara berkenaan mempunyai sumber-sumber ekonomi yang mencukupi untuk berdepan dengan sekatan ang dikenakan, malah Kementerian Kewangan Qatar turut memberi amaran, jika Qatar mengalami kerugian dari sudut kewangan, negara-negara yang terlibat dalam sekatan dan memutuskan hubungan dengan Qatar turut berdepan kekangan dalam soal kewangan negara masing-masing.

Agensi penarafan rating kredit antarabangsa, Standard and Poor’s menyebut semua bank di Qatar kini berada pada tahap kukuh dan jika semua wang negara-negara teluk dikeluarkan dari Qatar, ia bukan hanya memberikan masalah kepada Qatar, tetapi turut mendatangkan kesan kepada ekonomi negara-negara terlibat. Sehubungan itu, langkah memutuskan hubungan dan melaksanakan sekatan terhadap Qatar bukanlah satu langkah yang bijak dari sudut ekonomi, kerana ia tidak mendatangkan kesan besar kepada Qatar secara bersendirian, tetapi kepada rantau Asia Barat keseluruhannya.

Qatar juga dilihat meneruskan perniagaan minyak dan gasnya seperti biasa dan urusan import-eksport dilihat tidak mengalami banyak masalah. Namun UAE yang merupakan salah sebuah negara terlibat dalam memutuskan hubungan ini harus memikirkan dengan wajar langkah yang diambil mereka memandangkan Qatar menjadi negara pembekal utama gas ke Qatar dengan penyaluran kira-kira 56 juta meter kubik sehari dan lebih mengharukan, Qatar tetap meneruskan pembekalan gas ini walaupun berlaku ketegangan hubungan diplomatik melibatkan kedua-dua negara.

Secara asasnya, Qatar berjaya membuktikan mereka tetap mampu menguruskan negara seperti biasa walaupun di saat krisis diplomatik seperti ini. Ternyata asas ekonomi Qatar terlalu kukuh dan sukar untuk digugat untuk bentuk krisis seperti ini. Qatar tersenarai sebagai antara negara teratas dalam indeks kompetitif dunia, malahan kepelbagaian ekonomi juga menjurus kepada pengukuhan kewangan negara berkenaan dengan 61 peratus kegiatan ekonomi bukan berasaskan kepada industri minyak dan gas. Keadaan positif ini ditambah pula dengan nilai dagangan Qatar di seluruh dunia yang mencecah jumlah RM1.4 trilion.

Qatar Airways yang disekat daripada menjalankan urusan penerbangan di Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir melihat ini bukan satu halangan besar, malah kesempatan ini digunakan sebagai peluang untuk meluaskan pasaran di negara-negara yang belum dijangkau oleh syarikat berkenaan sebelum ini.

Namun begitu, rahsia terbesar Qatar dalam memastikan kelangsungan rakyatnya sepanjang krisis ini ialah keupayaan mereka untuk menyediakan rizab makanan dan keperluan lain dalam tempoh segera sebaik sahaja krisis berkenaan berlaku. Ini membuatkan Qatar mudah menguruskan keadaan walaupun berlaku hal yang tak dijangka.

Berasaskan kepada keadaan semasa dan ekonomi Qatar yang dilihat tidak terjejas dengan krisis ini, dijangka satu penyelesaian segera bagi menamatkan sengketa berkaitan perlu digerakkan kerana secara nyata Qatar bukanlah negara yang rugi dan tiada kesan negatif setakat ini yang dirasai oleh warganegara berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here