KPDNKK Pahang

KUANTAN — KPDNKK Pahang menambah kuota pengeluaran minyak masak bersubsidi bagi menampung permintaan di pasaran walaupun bekalan bahan itu masih mencukupi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang, Sharuddin Jali berkata setakat ini, kuota pengeluaran sedia ada ialah sebanyak 3,300 tan metrik sebulan dan notis pertambahan telah dimaklumkan kepada pengilang untuk dilakukan pada Sabtu ini.

Beliau menambah kekurangan bekalan minyak masak yang didakwa berlaku di Pahang bukan disebabkan ketiadaan bekalan, tetapi berpunca daripada tindakan pembeli yang membeli berlebihan.

“Oleh itu, untuk mengatasi masalah itu, peniaga diarahkan untuk menghadkan jualan iaitu hanya dua peket minyak masak 1 kilogram dalam satu resit pembelian dan menambah kuota pengeluaran,” katanya.

Sharuddin berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Akta KPDNKK kepada Kesatuan Penghulu Pahang di Dewan Auditorium Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Taklimat dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Sehubungan itu, Sharuddin menasihatkan pengguna untuk tidak panik dan membeli minyak masak dalam kuantiti yang banyak sehingga menimbulkan kebimbangan kepada pengguna lain.

Sharuddin menambah pihaknya juga akan melaksanakan lebih banyak pemantauan bagi memastikan tiada ketirisan berlaku dalam penjualan minyak masak bersubsidi, meskipun belum menerima aduan perkara itu.

“Sejak 20 Oktober sehingga semalam sebanyak 1,473 premis diperiksa termasuk 940 pasar raya dan 533 pengilang,” katanya.

LEAVE A REPLY