wings
Cover image via malaysianaccess.com

Selepas berjaya dengan Konsert Wings 30 Tahun di Kuala Lumpur dan Johor Bahru pada tahun lalu siri sambutan ulang tahun kumpulan rock legenda itu akan diteruskan ke Borneo. Menggunakan nama Konsert Wings 30 Tahun ‘Live’ @ Kota Kinabalu, Sabah, Wings bakal menggegarkan Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 24 Disember depan.

Menurut vokalisnya Awie, istimewanya konsert kali selain bajet mencecah angka sehingga RM5 juta, Wings juga akan turun padang untuk program jelajah Sabah Big Bike Ride menggunakan motosikal berkuasa tinggi. Program jelajah itu diadakan bertujuan untuk Wings bertemu peminat serta mengadakan sesi promosi konsert berkenaan.

“Sebelum ini Wings memang pernah melakukan program jelajah yang sama di semenanjung Malaysia dan peminat menghargainya. Justeru untuk konsert di Sabah, kami menggunakan acuan yang sama.

“Cuma bezanya, di Sabah adalah jalan rayanya agak berbahaya serta lebih jauh perjalanannya. Mengikut anggaran kami akan merentasi lebih kurang 2,000 kilometer meliputi Kota Kinabalu, Labuan, Beaufort, Keningau, Tenom, Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Ranau, Kundasang, Kudat, Kota Belud dan Tuaran. Ia memakan masa sekitar 10 hari,” ujar Awie.

Sebagai persediaan, kumpulan yang telah menubuhkan kelab permotoran Wings akan menghantar 10 buah motosikal berkuasa tinggi ke Sabah dan menjalinkan kerjasama dengan kerajaan tempatan.

Motosikal berkuasa tinggi

Disebabkan itu, kos konsert Konsert Wings 30 Tahun ‘Live’ @ Kota Kinabalu, Sabah melambung tinggi kerana mereka akan membawa kelengkapan termasuk sistem bunyi dari Kuala Lumpur.

“Kos menjadi tinggi kerana bukan sahaja motosikal, tetapi juga barangan kelengkapan konsert akan dihantar dari Kuala Lumpur ke Sabah demi memberi kualiti terbaik kepada penonton. Oleh itu, pihak kami amat terbuka, andai terdapat pihak penaja yang ingin turut serta menjayakan konsert ini,” kata Awie.

Menyentuh tentang corak persembahan Wings di Sabah, jelas Awie konsert yang berdurasi sekitar dua sehingga tiga jam itu akan menampilkan lagu daripada album pertama Wings, Belenggu Irama sehingga album terkini, Menakluk Kosmos. Selain itu, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan bekas anggota Wings seperti Jojet (bekas pemain dram), Sham, (bekas pemain gitar) dan Mel (bekas vokalis).

Menyerikan lagi konsert berkenaan, Wings turut menjemput ramai penyanyi tempatan Sabah seperti Zero, Yazer, Felix Agus, Abu Bakar Ellah serta dua penyanyi popular iaitu Akim dan Aweera.

“Walaupun Wings dijangka memulakan konsert sekitar 9 malam, tetapi acara bermula sekitar pukul 1 petang dengan persembahan band-band rock tempatan Sabah. Kebimbangan saya hanyalah keadaan cuaca kerana pada penghujung tahun seluruh Malaysia kerap dilanda hujan.

“Mengadakan sebuah konsert bukan kerja mudah apatah lagi di seberang laut, jadi saya berharap semua pihak dapat memberikan sokongan kepada Wings,” tutur Awie.

Dalam pada itu, Wing turut melantik atlet paralimpik Sabah, Filicia Mikat sebagai ikon konsert berkenaan. Pelantikan itu sebagai tanda penghormatan dan sokongan kepada Persatuan Sukan dan rekreasi Orang Kelainan Upaya Negeri Sabah. Sebahagian daripada keuntungan jualan tiket akan disalurkan kepada persatuan berkenaan.

Baca lagi: Wings Kembali Menyarung Jersi Wajib

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here