simple plan
Cover image via Harian Metro

Nampaknya 2016 terus menjadi tahun bertuah buat pencinta muzik Malaysia apabila ramai bintang ternama antarabangsa menjayakan persembahan di sini. Selepas penyanyi yang terkenal dengan aksi lincah di atas pentas, Selena Gomez menggegarkan konsert Revival Tour di Stadium Malawati, Shah Alam Julai lalu, kini band punk rock dari Kanada, Simple Plan akan turut menghiburkan peminat di ibu kota.

Konsert Taking One For The Team Tour Kuala Lumpur 2016 bakal berlangsung di KL Live, Life Centre pada 7 September ini, jam 8.30 malam.
Ia diadakan sempena konsert jelajah Asia bagi mempromosikan album kelima berjudul Taking One For The Team yang dilancarkan 19 Februari 2016.

Kali terakhir kumpulan dianggotai Pierre Bouvier selaku vokalis, Chuck Comeau (dram), David Desrosiers (bass), Sebastien Lefebvre (gitar) dan Jeff Stinco (gitar utama) beraksi di Malaysia adalah kira-kira empat tahun lalu.

Sepanjang 17 tahun mencanai bakat, band ini menghasilkan lima album iaitu No Pads, No Helmets… Just Balls (2002), Still Not Getting Any (2004), Simple Plan (2008), Get Your Heart On! (2011) dan terbaru Taking One for the Team.

Antara lagu hit menjadi siulan peminat seluruh dunia ialah Addicted, Perfect, Jet Lag, Welcome to My Life, Summer Paradise dan kini Opinion Overload sekali gus menjadikan Simple Plan masih bertahan dan kekal popular.

Menerusi konsert promosi album kelima ini, Simple Plan mengelilingi beberapa negara Asia Tenggara bermula di Seoul, Korea pada 1 September ini.

Kemudian, kumpulan itu akan menghiburkan peminat di Singapura 5 September diikuti Kuala Lumpur 7 September depan.

Mereka akan menutup konsert jelajah Asia di Thailand pada 8 September sebelum memulakan konsert jelajah di Eropah.

Tiket menyaksikan konsert itu sudah mula dijual dengan harga RM188, RM288 dan RM388.

Tiket boleh dibeli secara online di www.ticketcharge.com.my.

LEAVE A REPLY