bunkface
Cover image via Kosmo

BUKAN mudah sebenarnya buat semua anak seni untuk kekal bertahan melebarkan pengaruh muzik mereka dalam keadaan industri yang tidak menentu sekarang. Kebanjiran penyanyi baharu serta kemerosotan penjualan album boleh menyebabkan muzik yang diperjuangkan hanya bertahan semusim sahaja andai tersilap percaturan. Bagaimanapun, situasi berbeza dihadapi trio yang berdiri atas nama Bunkface. Mula membentuk sebuah band pada tahun 2006, tahun ini genap 10 tahun Sam, Youk dan Paan terus memukau peminat dengan muzik punk rock mereka.

Justeru sempena tempoh sedekad itu, pada 24 Disember depan, Bunkface bakal mengadakan sebuah konsert berskala besar buat peminatnya.

Berlangsung selama dua jam di Stadium Chin Woo, Jalan Hang Hebat, Kuala Lumpur, konsert yang diberi nama Bunkface X Live In Kuala Lumpur itu dijangka bakal dihadiri oleh seramai 6,000 peminatnya.

Teruja dengan hadiah yang bakal dihidangkan kepada peminat yang digelar sebagai ‘bunkers’, vokalis Bunkface, Sam atau nama lengkapnya, Shamsul Annuar Mohd. Baharom memberitahu, penganjuran konsert itu merupakan impian mereka sejak dari mula penubuhan band.

“Sejak dari awal penubuhan Bunkface, memang kami telah memasang impian untuk terus bertahan hingga ke tahap ini dan mengadakan sebuah konsert buat peminat.

“Alhamdulillah, setelah genap 10 tahun kami berada dalam industri, impian tersebut bakal direalisasikan tidak lama lagi,” ujar Sam yang ditemui semasa sidang akhbar konsert Bunkface X Live In Kuala Lumpur di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Matang

Bakal menyanyikan sebanyak 20 buah lagu, tambah Sam lagi, mereka kini sedang giat memikirkan konsep dan perjalanan konsert berkenaan.

“Konsert Bunkface X adalah merujuk kepada nombor 10 dalam huruf roman. Pemilihan Stadium Chin Woo pula adalah kerana keluasannya dan kami menjangkakan kehadiran seramai 6,000 penonton pada konsert itu nanti.

“Buat masa ini kami sedang giat mengadakan persiapan menuju konsert itu nanti. Antara lagu yang akan kami persembahkan adalah seperti Masih Di Sini, Situasi, Panik dan lagu kegemaran ramai iaitu Darah Muda.

“Tambah menarik, ketika konsert berlangsung juga peminat bakal menyaksikan pelancaran album kompilasi Bunkface X yang akan memuatkan lagu-lagu kami terdahulu. Antaranya adalah Phobia Phoney (2010), Bunk Not Dead (2012) dan Malam Ini Kita Punya (2014),” kongsinya lagi penuh teruja.

Melanjutkan bicara, sengaja Sam ditanya tentang resipi mereka bertahan dalam industri serta kematangan perjuangan muzik Bunkface dari dahulu hingga kini.

Sam pantas melayar kembali kenangan ketika awal penubuhan Bunkface.

Ujarnya, seperti band seangkatan yang lain, mereka juga turut mengalami fasa pasang surut. Pun begitu, akuinya peredaran waktu membuatkan persahabatan dan muzik perjuangan mereka kini menjadi semakin matang.

“Perjalanan band kami jika hendak diceritakan memang agak panjang, namun kami juga seperti band lain yang adakalanya mengalami pergaduhan atau selisih faham.

“Begitu juga dengan peralihan dalam perjuangan muzik kami. Jika peminat sedar, bermula dari awal hingga kini memang terdapat perubahan kerana kami perlu memenuhi kehendak dan keperluan pendengar agar relevan dengan keadaan semasa. Bagaimanapun, dari segi penyampaian masih sama dan menggambarkan identiti Bunkface,” terangnya.

Lebih membanggakan, 10 tahun berada dalam industri menyaksikan Bunkface juga tercalon dalam anugerah MTV Europe Music Awards (MTV EMA) 2016 dalam kategori Best South East Asia Act.

Biarpun gagal membawa pulang kemenangan, namun mereka menyifatkan pencalonan tersebut sebagai suatu pencapaian yang membanggakan.

“Jika difikirkan, kami antara calon yang begitu kecil dalam anugerah tersebut. Pencalonan itu sebuah penghargaan yang besar meskipun hanya layak dalam satu kategori sahaja.

“Kami tidak meletakkan sebarang harapan, jika menang, kami anggap ia sebagai rezeki,” tutupnya

Baca lagi: Debaran Sam Bunkface

LEAVE A REPLY