hafiz suip
Cover image via @hafizsuip

DEWASA ini, memang tidak dapat dinafikan bahawa industri seni suara dibanjiri dengan lambakan penyanyi baharu yang muncul dari pelbagai platform terutama media sosial seperti aplikasi Smule dan YouTube. Bagi penyanyi Hafiz Suip, sebagai artis yang membina nama menerusi program realiti, dia tetap menerima situasi tersebut sebagai suatu perkara yang baik kerana ia membuktikan industri hiburan tetap hidup.

Bagai satu trend juga apabila industri seni tempatan dibanjiri dengan kehadiran penyanyi baharu yang rata-ratanya membawakan hala tuju genre muzik yang sama iaitu kembali ke zaman 1990-an.

Tidak pernah menyalahkan apatah lagi kecewa, namun situasi itu turut memberi impak kepada posisi dan kelangsungan karier muzik penyanyi lama yang masih berpegang pada nuansa muzik masing-masing.

Luah Hafiz, sepanjang dua tahun sepi daripada sebarang produk baharu, dia sebenarnya berdepan dengan beberapa konflik membabitkan perjalanan karier seninya.

Sehinggakan, ada antara peminat yang tertanya-tanya ke mana perginya pemenang Anugerah Juara Lagu sebanyak dua kali pada AJL ke-26 (2012) dan AJL ke-28 (2014) itu selepas kali terakhir muncul dengan single duet bersama penyanyi Misha Omar, Terimaku Seadanya.

Ikuti penjelasan lanjut daripada penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu yang ditemui baru-baru ini.

Lama tidak mendengar cerita mengenai Hafiz yang kali terakhir muncul dengan lagu duet bersama Misha Omar, Terimaku Seadanya. Ke mana anda pergi selama ini?

HAFIZ SUIP: Saya masih ada, cuma dalam industri ada beberapa perkara yang berlaku menyebabkan hasrat saya untuk kembali aktif pada tahun ini terbantut. Perancangan tersebut sudah dibuat dengan pihak pengurusan Astro tetapi ia menjadi berubah selepas berlaku pertukaran pengurusan.

Kalau diikutkan, memang saya akan kembali aktif untuk menghasilkan lagu sekali gus album pada tahun ini. Bukan itu sahaja, satu hal yang mengecewakan saya adalah kebanyakan stesen radio sudah tidak memainkan lagu saya.

Ada beberapa buah lagu sudah dihantar di stesen radio tetapi mereka menolak dengan alasan, lagu-lagu tersebut tidak mengikut trend sekarang. Saya pelik juga, apa yang dimaksudkan dengan trend sekarang. Rupa-rupanya, trend tersebut adalah lagu-lagu berentak 1990-an.

Jadi, adakah anda akan melakukan perubahan dalam genre lagu yang dibawa selepas ini atau tetap mengekalkan identiti balada?

Kalau mahu tukar sepenuhnya, saya memang tidak akan lakukan. Namun, kalau mahu mengikut trend, saya terpaksa tukar sedikit lagu-lagu saya dengan unsur 1990-an. Bagaimanapun, saya akan tetap mengekalkan identiti dalam industri iaitu muzik balada.

Dalam erti kata lain, anda mahu mengekalkan nilai eksklusif sebagai penyanyi balada dengan tidak terpengaruh dengan elemen trend pada waktu sekarang?

Saya fikir, sebolehnya seseorang penyanyi perlu mengekalkan nilai eksklusif masing-masing kerana ia untuk kerjaya seni sendiri juga. Bukanlah bermakna tidak boleh mengikut trend tetapi ia perlu sesuai dengan situasi. Bagi saya, perlu untuk mempertahankan apa yang sudah dicapai sepanjang berada dalam industri.

Adakah anda rasa suara anda yang begitu sinonim dengan lagu berentak balada akan sesuai mendendangkan lagu berentak 1990-an?

Sebagai penyanyi, apabila mendapat lagu berentak apa sahaja, kami perlu menerimanya dengan hati terbuka. Kalau mahu bercakap mengenai kesesuaian, ia sebenarnya bergantung pada penyanyi itu sendiri bagaimana untuk menyesuaikan genre lagu dengan suara. Bagi saya, tidak timbul masalah untuk menyanyikan apa sahaja bentuk lagu.

Sewaktu sepi daripada sebarang single baharu, anda juga ada muncul sebagai hos dalam program Unplugged di saluran Astro Ria. Boleh komen sedikit mengenai perkara itu?

Pembabitan dalam bidang pengacaraan bukanlah bermakna saya serius untuk bergelar pengacara sebab dunia nyanyian adalah nombor satu. Saya menerima tawaran itu hanya disebabkan dua faktor iaitu yang pertama, mahu muncul di kaca televisyen supaya peminat tahu saya masih ada dalam industri.

Kedua, saya mahu mengasah bakat, tahap keyakinan dan kemahiran komunikasi ke aras yang lebih baik. Ada juga saya menerima tawaran menjadi hos untuk program lain tetapi saya tolak. Puncanya sebab tidak mahu orang fikir saya sudah tidak mahu menyanyi dan mahu menjadi pengacara pula.

Baca lagi: Hafiz Suip Anggap Lumrah Hidup, Kerjaya Suram

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here