mak cun

BERMULA dengan hanya watak kecil dalam drama rantaian Ajaibnya Cinta, karakter Mak Cun kini mampu berdiri kukuh apabila memiliki naskhah televisyen dan pementasan teater di bawah labelnya tersendiri.

Tampil dengan mesej positif, karakter Mak Cun yang diterjemahkan oleh pengarah dan pelakon tersohor, Erma Fatima dalam memartabatkan produk keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) agar menjadi pilihan utama pengguna nyata dapat dilihat daripada pementasan itu.

Mengusung mesej sama dengan siri televisyen, Mak Cun sekali lagi menemui penonton dan dipersembahkan secara muzikal di pentas Istana Budaya buat kali kedua.

Kali ini, beliau memilih judul bertajuk Mak Cun D’Walei yang mempunyai nuansa Bollywood.

Kekuatan barisan pelakon terdiri daripada Datin Umie Aida, Datuk Rahim Razali, Balkish Semundur Khan, Abam, bersama bintang kelahiran Pakistan, Saim Ali juga nyata tidak mengecewakan.

Lebih mengujakan, penampilan istimewa legenda rock, Amy Search dan pelakon Fathia Latif turut mengundang sorakan daripada penonton selain diselitkan bersama mesej sinikal dan penuh makna.

Terdapat beberapa sindiran yang dinyatakan oleh watak Mak Cun tepat kepada sasaran. Ini termasuklah mengenai isu semasa seperti kenaikan harga minyak dan corak pemikiran politik tempatan yang semakin mencabar.

Sebenarnya, teater arahan Erma, Mak Cun D’Walei masih mengisahkan tentang Mak Cun. Tidak banyak yang berubah mengenai penceritaan pada kali ini.

Bagaimanapun, untuk edisi teater ini, Mak Cun berusaha mendapatkan rempah ratus terbaik sehingga sanggup terbang ke India bersama Manisah (Umie Aida) demi memastikan perniagaan meraih keuntungan.

Dalam pada itu, Manisah pula telah jatuh cinta dengan seorang peniaga rempah bernama Rahul (Saim Ali) sehingga menanam hasrat untuk tinggal bersama jejaka tersebut di India.

Meskipun konsep penceritaan antara drama dan teater tidak mempamerkan perbezaan ketara, namun tenaga kerja yang bertungkus lumus menjayakan pementasan terutama bahagian kostum dan prop harus diberi pujian. Ia berikutan apabila tidak kelihatan sedikit pun cacat cela semasa pertukaran kostum mahupun prop yang dilakukan daripada satu babak ke babak lain.

Persekitaran pentas dilihat ‘hidup’, sekali gus menjadikan prop yang digunakan sebagai pragmatik dalam menggambarkan suasana setiap babak sangat dramatik dan realistik.

Perkara itu kelihatan ketara apabila membabitkan babak cinta antara Manisah dan Rahul kelihatan persis babak sebenar daripada filem hebat, Dilwale yang dibintangi oleh Shah Rukh Khan dan Kajol.

Isi asal pentas Istana Budaya juga tidak ubah seperti sebuah skrin layar gergasi yang memaparkan filem Hindustan apabila melibatkan babak gerabak kereta api serta sekumpulan pelakon tambahan menjadikan persekitaran seperti benar berlaku di India.

Kehebatan tarian dan keberkesanan lakonan Saim selain beberapa potongan dialog dalam bahasa Hindi turut berjaya menghipnosis penonton untuk kekal di kerusi sehingga pementasan tamat.

Saim merupakan pelakon dan model yang diterbangkan khusus dari Pakistan untuk menjayakan teater ini. Dia bukan sahaja memiliki rupa paras tampan tetapi memiliki karisma tersendiri memukau penonton.

Selain itu, penggunaan lagu-lagu Bollywood yang popular seperti Janam Janam dan Kuch Kuch Ho Ta Hai yang didendangkan secara live serta miming menaikkan adrenalin penonton yang turut terbuai dengan irama rancak sedemikian.

Larat dalam emosi cinta, penonton juga akan menyaksikan pengakhiran kisah cinta sama ada Mak Cun menerima atau tidak lamaran Pak Akop (Rahim Razali) yang sememangnya telah lama memendam rasa terhadapnya.

Bimbang lupa skrip

Mengakui wujud perasaan gentar dalam dirinya, pemilik nama Suhaimi Abdul Rahman atau popular dengan nama pentasnya, Amy Search berharap mampu menjayakan karakternya dengan cemerlang tanpa sebarang gangguan.

Sementelah, dunia teater bukan satu lapangan yang menjadi kepakarannya.

“Sewaktu berada di atas pentas, saya berasa seperti seluruh badan menggeletar selain perasaan bimbang sekiranya melakukan kesilapan mahupun terlupa skrip.

“Terus terang, berada di atas pentas sebagai penyanyi ketara berbeza berbanding berlakon selain memerlukan tenaga yang cukup kerana ia memerlukan banyak pergerakan,” jelas pelantun lagu Tiada Lagi itu tanpa selindung.

Berasa seperti pertama kali ingin membuat persembahan pentas, Amy menyifatkan penglibatannya dalam teater Mak Cun D’Walei merupakan satu pengalaman bermakna dan berbeza daripada filem.

“Di pentas teater, kita tidak boleh membuat kesilapan dan sekiranya perkara itu berlaku ia pasti akan kelihatan ketara jika dibandingkan dengan filem yang boleh disunting sekiranya lakonan kurang memuaskan,” tutur Amy usai persembahan teater Mak Cun D’Walei tamat.

Beralih kepada pendatang baharu yang kini sedang mula mencipta nama, pelakon drama rantaian Sweetie Nanie, Nadia Brian berkongsi pengalaman sewaktu menjalani sesi latihan bersama Erma.

Bukan sesuatu yang mudah, ketegasan Erma dalam mendidik Nadia agar memberikan lakonan yang cemerlang merupakan kunci buat dirinya mengalirkan air mata saat menjayakan babak akhir teater Mak Cun D’Walei.

Selain itu, pengalaman berkongsi pentas dengan barisan pelakon hebat menjadi pembakar semangat buat Nadia sekali gus enggan menghampakan Erma selaku pengarah.

Teater Muzikal Mak Cun D’Walei akan dipentaskan sehingga 13 November depan manakala tiket pada harga RM36, RM76, RM86, RM106, RM156 dan RM256 boleh dibeli menerusi laman web www.airasiaredtix.com atau kaunter Istana Budaya.

Baca lagi: Penampilan Model Pakistan, Tarikan Utama Mak Cun D’Walei

LEAVE A REPLY