Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim - Foto oleh theleaders-online.com

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menolak dakwaan bahawa beliau akan menyertai PAS selepas beliau sering ditemui di beberapa acara parti Islam itu dalam beberapa bulan yang lepas.

Bekas Menteri Besar Selangor itu menegaskan bahawa beliau sentiasa mempunyai hubungan yang mesra dengan PAS dan menafikan dakwaan bahawa beliau akan menyertai parti itu, atau akan membentuk parti sendiri tidak lama lagi.

“Kedua-dua adalah tidak benar. Saya sentiasa mempunyai hubungan yang rapat dengan rakan-rakan di dalam PAS.

“Ini telah saya nyatakan berkali-kali kerana apabila saya menyertai politik, saya disokong oleh PAS, seperti yang berlaku di pilihan raya kecil di Ijok pada tahun 2007,” kata Khalid, kepada pemberita selepas menghadiri majlis PAS hari ini.

Ahli Parlimen Bebas Bandar Tun Razak menambah bahawa beliau tidak mempunyai niat untuk meneruskan kerjaya politiknya selepas pilihan raya umum akan datang.

Khalid juga menasihatkan PAS untuk memilih sekutu yang beriman dalam perjuangan mereka untuk mengelakkan sebarang masalah seperti apa yang berlaku dengan DAP sebelum ini di dalam pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat.

“Walaupun kita boleh hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan etnik, PAS masih meletakkan keutamaan kepada konsep Syariah Islam.

“Mereka harus memilih sekutu yang berdasarkan konsep itu. PAS tidak perlu rakan yang tidak menyokong atau mempercayai konsep tersebut, “katanya.

PAS tahun lepas, secara rasmi terputus hubungan dengan DAP berikutan perselisihan pendapat antara kepimpinan apabila PAS ingin menguatkuasakan undang-undang Syariah yang ketat di Kelantan.

Walau bagaimanapun, parti Islam itu terus mengekalkan hubungan baik dengan PKR, yang kini sebahagian daripada Pakatan Harapan, dengan DAP dan parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara sebagai anggotanya.

Bekas Menteri Besar Selangor itu juga turut berkata, tidak ada keperluan untuk Bersih 2.0 untuk mengadakan satu lagi perhimpunan besar-besaran pada bulan depan. Dalam keadaan ekonomi semasa, kumpulan-kumpulan seperti Bersih 2.0, yang merupakan kumpulan reformasi pilihan raya, harus melihat bagaimana untuk menangani masalah sistemik seperti kemiskinan dan jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin.

“Tidak ada keperluan untuk demonstrasi jalanan pada masa ini. Masalah yang dihadapi oleh rakyat adalah kemiskinan dan jurang antara kaya dan miskin.

“Jika Bersih boleh menggunakan kekuatan mereka untuk mencari orang miskin dan menggunakan kumpulan profesional mereka untuk menangani masalah seperti kemiskinan, ia akan menjadi lebih baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis anjuran PAS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here