Saturday, December 10, 2016
Khairul Idham Pawi “Naik Pangkat” Ke Moto2

Khairul Idham Pawi “Naik Pangkat” Ke Moto2

90
0
Khairul Idham Pawi
Foto Utusan Online

KUALA LUMPUR – Jaguh Moto3 negara Khairul Idham Pawi berada di landasan yang tepat untuk muncul pelumba per­tama Malaysia bersaing da­lam kelas utama Kejuaraan Motosikal Dunia, MotoGP selepas ‘dinaikkan pangkat’ ke Moto2 untuk persaingan musim hadapan.

Bekas pelumba MotoGP kelas 250cc, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata, pasukan Khairul, Honda Team Asia mungkin te­lah mengesan faktor-X yang ada dalam diri pelumba ter­sebut sehingga mena­ruh keyakinan dan memberi peluang kepa­danya untuk bersaing dalam Moto2 sungguhpun pengalaman penu­ng­gang dari Perak itu baru setahun jagung dalam Kejuara­an Motosikal Dunia.

“Ada sesetengah pihak ka­ta Khairul terlalu awal untuk bersaing dalam Moto2 kerana baru tahun ini dia baru menyertai perlumbaan dunia tahun ini untuk semusim penuh. Prestasi dia pun tak cukup baik lagi dalam Moto3 dan dia menang dalam cuaca hujan.

“Tetapi bagi saya keputusan ini tidak terlalu awal. Saya pasti pihak pengurusan Honda telah nampak sesuatu dalam diri Khairul. Sekarang usia dia 18 tahun, kalau dia kekal dalam Moto2 selama dua hingga tiga tahun dan memperoleh keputusan yang baik, insya-Allah dia akan menyertai MotoGP.

“Untuk masuk ke dalam MotoGP perlulah menduduki anak tangga ketiga keseluruhan Moto2. Dalam kelas utama itu, ramai juara Moto2 dan Moto3 berlumba di sana. Saya harap dia akan mendapat keputusan yang baik dalam Moto2 nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shahrol Yuzy berkata demi­kian ketika diminta mengulas berhubung nama Khairul dile­takkan dalam senarai tidak rasmi untuk bersaing dalam ke­las Moto2 tahun depan, yang dikeluarkan oleh laman www.motogp.com hari ini.

Khairul Idham atau lebih mesra dipanggil Keon, yang mencatat dua kejayaan dalam saingan Moto3 iaitu di Argentina dan Jerman musim ini, akan menyertai pasukan Idemitsu Honda Team Asia bersama pelumba Jepun, Takaaki Nakagami musim hadapan.

Dalam pada itu, pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah mengakui berasa teruja dan gembira atas penghijrahan Keon ke Moto2 bagi tahun 2017.

“Saya ingin me­ngucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepadanya. Keon telah membuktikan bahawa dia mampu bersaing dalam kelas Moto3 dengan memenangi dua pusingan pada tahun ini.

“Dengan kesungguhan yang dipamerkannya, saya harap Keon dapat terus memberikan saingan yang sengit dalam kelas Moto2 tahun depan,” kata pelumba Petronas Raceline Malaysia itu.

Khairul Idham bakal menggunakan jentera Kalex iaitu jentera yang sa­ma ditunggang Hafizh.

LEAVE A REPLY