Sumber imej: FMT

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini menyatakan komitmen beliau membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan berkata ia akan hanya berlaku sekiranya pentadbiran sekarang ditumbangkan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sumber foto: mStar

“Saya amat komited dalam daya usaha untuk membebaskan Anwar Ibrahim,” katanya ketika diminta mengulas sama ada parti baharu yang bakal ditubuhkan seperti diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dapat menerima Anwar sebagai perdana menteri bayangan.

Khairudin Abu Hassan berada di sebelah Anwar Ibrahim ketika menziarah Allahyarham Sulaiman Palestin pada tahun 1997. Sumber foto: cilisos.my

Khairuddin, yang merupakan bekas naib ketua cawangan Umno Batu Kawan, bagaimanapun berkata masih sukar merancang masa depan Anwar selagi beliau masih dipenjarakan.

“Sekiranya Anwar berjaya dibebaskan barulah senang kita (pembangkang) nak rancang masa depan politik beliau,” katanya kepada FMT.

Anwar yang beberapa kali dinamakan Pakatan Rakyat sebelum ini sebagai perdana menteri bayangan sekiranya pembangkang mengambil alih Putrajaya, kini menjalani hukuman lima tahun di Penjara Sungai Buloh, selepas Mahkamah Persekutuan mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantunya pada 2008.

Susulan pengumuman sebuah parti baharu melibatkan PKR, DAP dan Amanah dengan sebuah lagi parti didokong Dr Mahathir baru-baru ini, timbul persoalan sama ada pembangkang akan menyenaraikan kabinet bayangan.

Khairuddin bersetuju kabinet bayangan penting bagi meyakinkan rakyat.

“Kalau rakyat tidak mengetahui siapa yang bakal memimpin negara sudah pasti mereka akan mempunyai sifat was-was untuk memberi undi kemenangan pada barisan pembangkang,” katanya.

Beliau juga berharap kabinet bayangan perlu mendapat sokongan golongan belia.

“Malahan struktur kabinet bayangan pun mestilah berteraskan kepada muka-muka baharu anak muda yang lebih bertenaga untuk teruskan agenda memimpin seterusnya memakmurkan negara.”

Bagaimanapun, Khairuddin berkata masih terlalu awal menamakan calon perdana menteri.

“Isu memilih calon perdana menteri masih terlalu awal dibincangkan, yang penting ialah kita (pembangkang) perlu mencari formula kesepakatan yang mantap terlebih dahulu sesama parti politik Pakatan Harapan,” katanya kepada FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here