Brazil tidak memandang remeh ancaman keganasan sepanjang temasya Sukan Olimpik yang berlangsung di Rio de Janeiro, bulan depan.

Menteri Sukannya, Leonardo Picciani, berkata pihak keselamatan di bandar raya itu sudah meningkatkan kawalan dengan berhubung dengan agensi keselamatan negara luar seminggu selepas kejadian rempuhan trak di Nice, Perancis.

“Kami tidak mengabaikan ancaman keselamatan. Kerajaan sudah mengambil langkah perlu yang disyorkan protokol antarabangsa…kerajaan kini pasti temasya Olimpik akan berjalan lancar dan selamat,” katanya kepada media hari ini.

Minggu lalu, sejurus tragedi rempuhan trak di Nice, pihak keselamatan di Brazil meningkatkan kawalan keselamatan di Bandaraya Rio dengan mengadakan sekatan jalan raya meskipun bakal menyaksikan kesesakan berpanjangan di bandar raya berkenaan.

image via BBC

Sukan Olimpik Rio yang bermula 5 Ogos depan menggamit penyertaan lebih 10,000 atlet dari 100 negara. Di sebalik kawalan ketat berkenaan, Menteri Kehakiman Brazil, Alexandre de Moraes memberitahu akhbar Folha de S Paulo bahawa dia lebih bimbangkan jenayah jalanan di Rio berbanding ancaman pengganas.

“Jenayah jalanan lebih membimbangkan saya berbanding ancaman pengganas dan sebab itu kita perlu tingkatkan lagi rondaan,” katanya.

Sempena temasya berkenaan, Brazil bercadang mengerah 85,000 anggota tentera, polis dan anggota lain bagi mengawal keadaan. Jumlah itu dua kali ganda anggota yang dikerah oleh London ketika mereka menjadi tuan rumah Olimpik 2012.

Picciani berkata, pegawai Kementerian Luar sudah memberi perakuan betapa mereka puas hati dengan rancangan berkenaan.

Setakat ini, kira-kira 50 ketua negara dijangka hadir ke Sukan Olimpik berkenaan dan tidak seorang pun yang sudah dijemput membatalkan hasrat mereka meskipun pihak keselamatan Perancis mengeluarkan amaran bahawa ada kemungkinan serangan dilalukan ke atas delegasi Perancis.

LEAVE A REPLY