Bajet Terengganu 2017
Image via BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 21 Nov — Kerajaan negeri membentangkan bajet defisit RM170 juta, dalam bajet Terengganu 2017, dengan perbelanjaan dianggarkan berjumlah RM1.867 bilion berbanding anggaran hasil yang bakal diperoleh RM1.697 bilion.

Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman ketika membentangkan Bajet Terengganu 2017 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini, berkata jumlah itu termasuk RM739.70 juta untuk pembangunan dan RM2.97 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

Beliau berkata di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM85 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah RM1.782 bilion untuk perbelanjaan perbekalan.

“Dari segi agihan mengikut Sektor Pembangunan, 63 peratus atau sebanyak RM466.9 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan sosial, merangkumi lima sektor iaitu pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam, pembangunan bandar dan luar bandar, sukan dan perumahan.

“Manakala 27 peratus atau RM197.18 juta pula untuk pentadbiran, merangkumi empat sektor iaitu teknologi maklumat, pentadbiran am, projek khas dan projek penting luar jangka. 10 peratus atau RM77.61 juta untuk ekonomi, merangkumi tiga sektor iaitu pertanian, pelancongan dan industri termasuk IKS (Industri Kecil dan Sederhana),” katanya.

Katanya, kerajaan Terengganu juga menjangkakan pendapatan daripada hasil cukai adalah sebanyak RM58.73 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM1.436 bilion.

“Daripada jumlah tersebut 77.36 peratus adalah daripada pemberian Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) sementara baki 22.64 peratus adalah hasil negeri ini,” katanya.

Ahmad Razif berkata ekoran keadaan ekonomi global yang mengalami penyusutan akibat kelembapan ekonomi yang dihadapi negara-negara maju, kerajaan negeri akan melakukan pengurusan kewangan secara berhemah bagi memastikan jumlah perbelanjaan mencukupi dan projek-projek pembangunan dapat diteruskan.

“Kerajaan Terengganu juga telah melakukan kawalan ke atas Bajet 2017 dan berbelanja secara berhemah dengan mengamalkan ‘bajet berdasarkan hasil’ bagi memastikan konsep ‘nilai untuk wang’ tercapai,” katanya.

Seiring dengan itu, katanya kerajaan akan melaksanakan perbelanjaan secara langsung iaitu kos untuk menganjurkan sesuatu program akan diasingkan dan perlu dibuat permohonan setiap kali program dibuat.

“Jika sebelum ini peruntukan bagi sesuatu program diberi sekali gus kepada sesuatu jabatan yang meliputi kos pengurusan. Kita harap pengurusan perbelanjaan yang dilaksanakan akan lebih telus dan mengikut peraturan,” katanya.

Ahmad Razif berkata keduanya adalah mengoptimumkan sumber sedia ada iaitu berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan.

“Sekiranya sebelum ini kursus-kursus atau mesyuarat diadakan di hotel atau di luar kawasan, maka pada 2017 semua jabatan dan agensi kerajaan diwajibkan mengunakan kemudahan dan fasiliti kerajaan sedia ada sebagai satu langkah penjimatan,” katanya.

LEAVE A REPLY