Kemenangan Donald Trump dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat adalah sesuatu yang tidak dijangka oleh ramai pihak. Mereka terlalu yakin bahawa Hillary Clinton akan mencipta sejarah sebagai Presiden wanita pertama tetapi sebaliknya telah berlaku. Kejayaan Trump ini turut disamakan dengan insiden Brexit di mana tindakan rakyat British yang mengundi keluar dari EU adalah sesuatu yang tidak pernah diramal. Ia juga telah menyebabkan perletakan jawatan David Cameron sebagai Perdana Menteri. Clinton dan Cameron menerima nasib yang sama dalam situasi berbeza walaupun kedua-dua pemimpin ini dianggap “baik” dan “sederhana” pada pandangan masyarakat dunia.

Adakah dunia sekarang sudah menjadi gila? Tatkala kita menentang fahaman radikalism dan ektremism, pengundi Amerika sendiri memilih pemimpin yang lebih ekstrem pemikirannya. Malah, penganalisis atau pemerhati politik sudah boleh mencari kerja lain disebabkan jangkaan mereka jauh meleset sama sekali.

Jadi, bagaimana Trump boleh menang?

Realpolitik

maxresdefaultKempen politik Trump lebih banyak tertumpu kepada agenda kepentingan nasional yang  mementingkan kekuatan majoriti dalam pembentukan polisi Amerika. Isu-isu populis telah dimainkan seperti perkauman yang melibatkan kulit putih dan hitam, jurang di antara golongan pertengahan dan elitis, dasar luar yang berkepentingan serta isu Islam dan migran. Pendekatan “realpolitik” digunakan di mana ia bermaksud politik berasaskan praktikal berbanding ideologi. Ia juga merujuk kepada satu pendekatan yang pragmatik dan realistik tanpa menghormati pertimbangan etika.

Walaupun isu-isu yang dibawa Trump terlalu rasis dan tidak masuk akal, namun itulah isu yang sebenarnya menghantui rakyat US. Ia berbeza dengan gerakan yang dibawa Obama satu ketika dahulu yang nekad membawa “harapan dan perubahan” ke negaranya termasuklah isu kemelesetan ekonomi, ancaman ekstremis keagamaan dan jurang perkauman.

Netizen vs Realiti

Pandangan netizen di media sosial masih lagi menjadi faktor kemenangan sesuatu pilihanraya. Facebook, Twitter, Youtube, Reddit dan Instagram masih lagi menjadi medium pengumpulan pendapat dan mempengaruhi keputusan pengundi.  Menurut laporan interaktif #Election2016 Twitter, peratusan netizen berbincang mengenai Trump adalah sebanyak 44.9% berbanding Clinton dengan hanya 26.1%. Manakala di Facebook, pada peringkat awal, sokongan terhadap Clinton adalah sebanyak 63% netizen  berbanding 37% kepada Trump. Namun, sokongan itu menurun mendadak sejak pendedahan Wikileaks mengenai emel Clinton. Sentimen juga menunjukkan netizen mula mempersoalkan intergriti beliau dalam menangani isu tersebut di mana ia tidak dijawab sepenuhnya.

Pengundi Senyap

maxresdefaultInilah sebenarnya faktor kemenangan “Mr President elect” Donald J. Trump. Ia juga telah menyebabkan pandangan penganalisis politik yang berkaliber akan menjadi bahan lawak di Comedy Central. Siapa boleh jangka?

Faktor pengundi senyap merupakan kunci kepada kejayaan Trump di negeri-negeri “swing” dan pengundi atas pagar. Republikan agak terkejut apabila memenangi undi elektoral di Wisconsin, Michigan dan Pennsylvania yang merupakan “Blue State Wall”. Speaker Dewan, Senator Paul Ryan yang sebelum ini mengkritik Trump mula mengambil pendekatan lembut kerana kemenangan tidak dijangka di tiga negeri tersebut.

Apa yang sebenarnya terjadi?

Kelompok pengundi senyap yang memilih Trump ini merangkumi golongan kulit putih berkolar biru, pengundi muda yang nasionalis, veteran askar dan juga penduduk pedalaman. Golongan ini tidak diberi penekanan serius oleh Clinton dan mengharapkan magis penyokong Obama yang lalu untuk mengundi beliau. Ia meleset sama sekali.

Selain itu juga, Trump berjaya meyakinkan hati dan minda rakyat Amerika bahawa integriti Clinton diragui selepas siri pendedahan emel yang melibatkan sumber dana Yayasan Clinton. Pengundi di saat akhir berasa curiga dan beranggapan Clinton tidak jujur jika dibandingkan dengan Trump yang sememangya mendedahkan karakter realistiknya.

Halatuju Trump

_92374141_trumpcabinetDunia kini berdetik menanti perubahan yang akan dilaksanakan oleh bakal pemimpin nombor satu dunia ini. Lihat sahaja bagaimana dasar luar Filipina berubah secara drastik apabila Duterte menjadi Presiden. Trump akan melantik pasukan kabinetnya yang terdiri daripada rakan-rakan setia beliau sepanjang kempen berlangsung. Nama seperti Newt Gingrich (Setiausaha Negara), Rudy Giulani (Peguam Negara) Steve Mnuchin (Setiausaha Penbendaharaan) dan Michael Flynn (Penasihat Keselamatan). Mereka ini adalah “loyalist cadre” Trump yang akan menentukan dasar luar US.

Apa jadi pada Malaysia?

Mengambil kira beberapa faktor kemungkinan, Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan perubahan polisi Amerika. Trump pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan mengharamkan 40 negara yang membiayai keganasan termasuk Malaysia. Kita berharap Trump hanya bergurau pada masa kempennya. Apa yang pasti, polisi “berbaik dengan Asia” legasi Obama akan dilupakan. Walaubagaimanapun, Malaysia mempunyai pengalaman pada zaman Presiden dari Republikan seperti Reagan, Bush Snr dan Bush Jr di mana sepanjang tempoh tersebut kita menanganinya dengan baik.

Semasa saya menghadiri sidang media yang dianjurkan Kedutaan Amerika di JW Marriot, pemangku Duta, Edgard Kagan menyatakan bahawa hubungan Malaysia-AS tidak akan berubah tidak kira siapa yang memimpin. Namun, pandangan ini agak skeptikal kerana langkah Trump untuk menamatkan TPPA sudah menunjukkan dasar yang akan dibawa beliau. Malaysia hanya perlu menanti dan memantau perkembangan terbaru ini dengan lebih teliti. Mungkin, lawatan Najib ke China untuk memperkukuhkan hubungan dua hala khususnya ekonomi adalah salah satu langkah yang positif dan realistik.

simpsons-electoral-map

Dunia menjadi gila disebabkan nama Trump. Malah, Matt Groening (pencipta watak “The Simpsons”) sudah meramalkan kemenangan Trump sejak tahun 2000 lagi. Dalam episod tersebut ia menceritakan tentang kemerosotan ekonomi yang teruk di bawah Trump. Ia hanya kartun semata-mata (dengan harapan).  

Tahniah, Tuan Presiden. You are hired!

“It’s always good to be underestimated” – Donald Trump.

 

LEAVE A REPLY