kejuaraan

Pemain kurang ternama, Jimmy Walker meraih gelaran major pertamanya mengetepikan pemain ranking teratas yang juga juara bertahan, Jason Day pada Kejuaraan PGA, awal pagi tadi.

Pemain berusia 37 tahun dari Amerika Syarikat (AS) itu membenam putt tiga kaki pada lubang terakhir untuk menewaskan bintang Australia itu dengan hanya satu pukulan, menamatkannya dengan tiga bawah par 67 pada pusingan terakhir untuk mengumpul 14 bawah par 266.

Walker memenangi AS1.8 juta (RM7.24 juta) dan Trofi Wanamaker serta gelaran keenam PGA AS, yang pertama sejak Terbuka Texas pada Mac tahun lalu.

“Ia pertarungan sepanjang hari,” kata Walker, yang sama seperti Day perlu bermain 36 lubang hari ini kerana hujan ribut semalam yang tidak membenarkan mereka memulakan saingan.

image via ABC

Walker, yang tidak pernah melakukan yang terbaik berbanding kedudukan ketujuh pada PGA 2014 dalam 17 kejohanan, terlepas kelayakan dalam tiga daripada empat major disertainya, termasuk Terbuka British, dua minggu lalu dan Terbuka AS pada Jun.

Keputusan terbaiknya musim ini ialah berkongsi kedudukan keempat di Riviera pada Februari lalu.

LEAVE A REPLY