BN

Hari ini (12 Jun 2017) politik negara sedikit berkocak apabila YB Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz menyelar YB Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dengan menggelarkan beliau sebagai ‘Menteri setahun jagung.’

Kata-kata itu dilontarkan sebagai respons Nazri terhadap pandangan Abdul Karim yang meminta Kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal dilaksanakan bermula pada 1 Ogos 2017.

Karim dalam kenyataannya turut membangkitkan mengenai Perjanjian Malaysia dan hak percukaian yang ada pada negeri Sarawak. Nazri jelas tidak selesa dengan kenyataan berkenaan dan menganggap Abdul Karim tidak memahami asas perkara berkenaan.

Keadaan bertambah kalut apabila Kerajaan Negeri Sarawak mengumumkan menarik diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia berkuatkuasa serta-merta. Kerajaan Negeri Sarawak memaklumkan penarikan diri itu ialah kerana berlaku pertindihan tugas dengan Lembaga Penggalakkan Pelancongan Sarawak.

Walaupun alasan yang diberikan Kerajaan Negeri Sarawak itu berbaur diplomasi, kita sebenarnya dapat mengetahui bahawa langkah ini diambil sebagai respons terhadap kenyataan yang dibuat Nazri.

Secara umumnya, cukai pelancongan yang diumumkan Kerajaan Persekutuan ini bukan satu perkara baru dan tidak dilaksanakan secara tiba-tiba. Cukai ini telah melalui proses sewajarnya melalui pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 di Parlimen Malaysia. Rang Undang-Undang ini diluluskan dalam persidangan bersejarah Dewan Rakyat yang memakan masa sehingga 20 jam pada 6 April 2017.

Persoalan terpenting yang harus kita renungkan kini ialah mengapa Abdul Karim membangkitkan bantahan berkenaan selepas kira-kira dua bulan Rang Undang-Undang ini diluluskan dan sewajarnya Abdul Karim bertindak menyalurkan bantahan kepada Ahli Parlimen dari Sarawak dan seluruh Ahli Parlimen dari Sarawak wajar mengundi untuk tidak menyokong Rang Undang-Undang ini jika Kerajaan Negeri berpandangan Rang Undang-Undang ini tidak sewajarnya dilaksanakan. Namun semasa pengundian berlangsung, tiada sebarang bantahan kecuali di pihak pembangkang.

Hari ini apabila berlaku pergeseran, hal ini menjadi semakin rumit dan berpanjangan. Perlu diingatkan bahawa Sarawak ialah deposit tetap Barisan Nasional dalam setiap pilihan raya dan hubungan baik dengan negeri berkenaan wajar dijaga seperti juga hubungan Kerajaan Persekutuan dengan negeri Sabah.

Nazri sebenarnya wajar lebih berhemah dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak membalas kenyataan berkenaan di ruangan media, tetapi sebaliknya menggunakan ruang lebih teratur termasuk memanggil Abdul Karim bagi mengadakan perbincangan.

Hal ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan baik mengikut pertimbangan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Hal ini tidak wajar diambil sehingga ke tahap peribadi atau dilihat dalam kerangka gelanggang politik. Keharmonian dalam Barisan Nasional merupakan nilai terpenting yang perlu sentiasa dipelihara dan usaha berterusan ke arah itu wajar dipertahankan.

Barisan Nasional perlu dilihat bijak dan matang dalam mengatasi masalah ini demi memastikan kemenangan berterusan di negeri Sarawak dan secara tidak langsung Sabah.

Jalan damai yang lebih kukuh wajar dirintis dan tindakan penarikan diri yang diumumkan Kerajaan Negeri Sarawak juga perlu dipertimbangkan semula memandangkan terdapat kaedah lain yang boleh digunakan.

Perbincangan lebih selesa perlu diadakan segera dan campur tangan serta kebijaksanaan YAB Perdana Menteri ketika ini amat diperlukan untuk menjernihkan semula keadaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here