George Town Mesra OKU

GEORGE TOWN, 3 Nov — Dengan status sebagai Bandar Tapak Warisan Dunia dan lokasi tarikan pelancong yang berkembang pesat, Tourism Malaysia Pulau Pinang bersama-sama pihak berkepentingan berusaha untuk menjadikan George Town mesra OKU.

Pengarahnya Mazlan Araju berkata pada masa ini, George Town belum dianggap sebagai kawasan yang mesra OKU, tetapi jabatan itu menyasarkan untuk menjadikannya mesra OKU secepat mungkin.

“Kami tidak mahu tetapkan sasaran beberapa tahun dari sekarang kerana terlalu lama hendak menunggu. Kami mahu ia dilaksana secepat mungkin dan setakat ini, pihak berkepentingan sangat terbuka mengenai perkara ini,” katanya selepas mengadakan sesi lawatan di muzium Wonderfood, di Lebuh Pantai di sini, hari ini.

Selain melibatkan pihak-pihak berkepentingan, jabatan itu juga mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri untuk memastikan bahawa sasaran itu boleh dicapai.

Bukan sahaja lokasi yang tidak mesra OKU, kawasan warisan itu turut berhadapan dengan satu lagi masalah iaitu kekurangan tempat letak kereta khususnya untuk kereta dan bas.

“Pengunjung sering menyuarakan luahan mereka mengenai isu tempat letak kereta dan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada kepuasan pengunjung terhadap kita sebagai negeri pelancongan,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk menangani isu tempat letak kereta di kawasan itu dan berharap akan ada penyelesaian untuk menyediakan ruang letak kereta yang mencukupi untuk semua.

Terdahulu, Mazlan dan beberapa pegawai dari pejabat pelancongan melawat Muzium Emas Pulau Pinang dan muzium Wonderfood, yang mana kedua-duanya merupakan satu-satunya muzium seumpama itu yang ada di negara ini dan juga Asia Tenggara.

“Kami mahu mempelbagaikan tarikan dan memberitahu pelancong bahawa kita menawarkan bukan sahaja warisan dan makanan tetapi juga muzium,” katanya.

Pada masa ini, terdapat lebih daripada 40 muzium di sini dan 25 daripadanya telah diiktiraf oleh pelancongan negeri sebagai tarikan menarik di kawasan itu.

Sementara itu, Pengurus Muzium Emas Pulau Pinang, Denise Tang berkata muzium itu dibuka pada Mei tahun lepas dan ketika ini ia tersenarai dalam Tripvisor sebagai tarikan pelancongan negeri.

“Sehingga kini, kami mencatatkan kira-kira 50,000 pengunjung dan pelancong yang datang boleh alami sendiri proses pengeluaran emas,” katanya.

Selain Muzium Emas, pelancong juga boleh melihat makanan tempatan dalam versi lebih besar yang diperbuat daripada campuran silikon dan dalam masa sama menghayati seni makanan di muzium Wonderfood.

Eksekutif Pemasaran muzium itu, Jeffrey Yeong berkata muzium berkenaan dibuka sejak Januari 2015 dan dilawati pelancong dari seluruh dunia.

“Semua replika makanan di muzium itu dibuat menggunakan tangan oleh artis tempatan dan kami menerima maklum balas positif daripada pelawat kami,” katanya.

LEAVE A REPLY