Kapal yang membawa bantuan bekalan yang menuju ke Gaza, Zaytouna-Olivia telah ditawan oleh pihak tentera Israel bersama tiga krew dan 10 anak kapal pada kira-kira 8.58 malam pada Rabu.

Turut berada di dalam kapal berkenaan ialah wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan.

Kapal Zaytouna yang dalam misi ‘Women’s Boat To Gaza’ (WBG) itu dijangka akan ditunda oleh tentera Israel menuju ke pelabuhan Ashdod.

Perkembangan terbaru itu dimuat naik di Facebook Rose2Rose.

Ketika kejadian, kapal Zaytouna sudah melepasi garisan 100 batu nautika ke arah pantai Gaza, dan pada kedudukan itu, kapal berkenaan telah memasuki garisan perairan yang dikawal oleh tentera Israel.

Selain Dr Fauziah, delegasi wanita dari negara lain adalah dari Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia.

Pelayaran mereka bermula pada 8 malam (waktu tempatan Barcelona) 14 September dari pelabuhan Vell dan membuat persinggahan di Ajaccio, Perancis pada 19 September sebelum meneruskan perjalanan ke Messina, Itali.

Seorang jurucakap misi WBG itu sebelum ini berkata, kapal berkenaan cuba menghampiri Gaza dalam usaha melepasi sekatan yang dikenakan Israel sejak berdekad-dekad lamanya.

Sementara itu menurut satu kenyataan yang dikeluarkan tentera Israel pada Rabu memaklumkan pasukan keselamatan rejim telah ‘mengubah haluan’ konvoi terbabit bagi mengelak ia melanggar ‘sekatan maritim’ yang dikenakan rejim ke atas Gaza.

Tindakan diambil selepas menerima arahan dari pihak kerajaan dan segala usaha diplomatik gagal.

Flotila WBG adalah sebahagian dari kumpulan Freedom Flotilla Coalition yang lebih besar, dengan misi yang sama untuk membantah sekatan Yahudi di bumi Gaza.

Sehingga kini beberapa cubaan untuk kumpulan itu melepasi sekatan menemui jalan buntu dengan beberapa anggotanya turut ditahan pihak Israel.

Ketika tragedi konvoi Mavi Marmara dengan misi yang sama pada 2010, tentera Israel bertindak menyerang konvoi kapal berkenaan di kedudukan 70 batu nautika menyebabkan 10 warga Turki terbunuh.

Satu sidang media mengenai perkara itu akan diadakan oleh pihak MyCare dan Wisma Putra pada pagi Khamis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here