Kaki Viral

Baru-baru ini berlaku beberapa insiden yang tular di media sosial melibatkan beberapa hal yang sebenarnya isu peribadi (personal) tetapi dijadikan seolah-olah seperti isu negara (nasional) kesan daripada pengaruh dan kegilaan rakyat Malaysia terhadap media sosial.

Kejadian pertama yang mendapat liputan meluas di media sosial ialah berlaku pelanggaran kecil melibatkan dua buah kereta di Lebuhraya Persekutuan. Sebuah kereta dipandu lelaki Melayu telah bergesel dengan sebuah kereta yang dipandu lelaki Cina. Lelaki Melayu (yang mengikut Perlembagaan Persekutuan seseorang Melayu itu ialah Islam) itu kelihatan tidak dapat menahan sabar dan keluar dari kenderaan dan memaki hamun pemandu Cina itu.

Pemandu Cina itu juga tidak mahu kalah dan merakam aksi memaki pemandu Melayu itu dan kemudian menyebarkannya di media sosial. Apabila sesuatu tindakan atau perlakuan itu sudah tular di media sosial, maka sesiapa sahaja yang menonton bakal menjadi hakim dan mengapi-apikan lagi keadaan.

Lebih buruk ialah tindakan sesetengah orang yang menggunakan hal-hal berkaitan perkauman untuk memburukkan keadaan. Tabiat melihat apa-apa yang berlaku itu menerusi kaca mata kaum adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal. Secara dasarnya perlakuan seseorang itu ialah keputusan individu, bukan keputusan kaum yang diwakilinya.

Kes kedua melibatkan perebutan petak letak kereta dan turut melibatkan dua individu berlainan kaum. Melayu dan Cina. Dikatakan kedua-dua wanita berkenaan berselisih faham akibat berebut petak letak kereta di sebuah bazar Ramadan dan kes itu dikatakan berlaku di Langkawi. Lebih mengharukan keadaan, wanita Melayu bertudung itu mengacukan jari tengah dan membaling kasutnya ke arah kereta wanita Cina berkenaan. Sekali lagi kita lihat trend tidak sihat timbul apabila hal-hal berkaitan perkauman dijadikan asas kepada sesetengah pihak melihat punca pergaduhan ini.

Dalam kes ini, tindakan perakam video berkenaan memuat naik video ke laman sosial adalah sesuatu tindakan tidak beretika kerana isu itu ialah satu isu kecil yang hanya melibatkan dua individu dan boleh diselesaikan dengan hanya permohonan maaf. Nampaknya ada dalam kalangan kita yang lebih selesa menjadi ‘batu api’ dan mengejar like serta share demi memastikan laman sosial menjadi terkenal.

Ini satu penyakit dalam masyarakat yang kian parah dan sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikan gejala seperti ini. Masyarakat kita harus dididik dengan etika dalam menggunakan media sosial di samping perlu bertindak menjadi pendamai bukan tukang sorak kepada sebarang perselisihan yang berlaku. Daripada rakam, lebih baik leraikan.

Dua insiden yang terjadi baru-baru ini jelas menunjukkan kepada kita hal perkauman masih menjadi senjata paling bahaya untuk mencetuskan perbalahan di negara kita dan hal ini sangat menyedihkan di saat kita akan menyambut kemerdekaan yang ke-60, isu-isu perkauman masih terus berlaku.

Selain itu, segelintir anggota masyarakat juga perlu bijak menilai yang mana isu personal dan yang mana isu nasional. Jika perselisihan kecil, tidak perlu dibesar-besarkan dan masing-masing berlumba-lumba mahu menjadi penyampai berita dan hakim utama.

Jika perselisihan itu besar, saluran undang-undang dan penglibatan pihak berkuasa adalah perkara terpenting yang perlu terlintas dalam kepala kita dan bukannya berfikir untuk merakam semata-mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here