Tuesday, June 27, 2017
Home News Biz Kadar Pengangguran Negara Dijangka Turun ke 3.3%

Kadar Pengangguran Negara Dijangka Turun ke 3.3%

75
0

Kadar pengangguran di Malaysia dijangka mencatat purata sekitar 3.3 peratus tahun ini didorong oleh perkembangan aktiviti dagangan global yang semakin positif.

Menurut MIDF Research, perkara itu akan memberi kesan yang positif kepada pasaran buruh ekoran prestasi ekonomi Malaysia yang lebih baik hasil daripada industri yang berasaskan eksport.

“Selain itu, harga komoditi yang kukuh juga akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor berasaskan komoditi dan aktiviti hiliran berkaitan.

“Dalam masa sama, per­belanjaan domestik yang dijangka memacu ekonomi negara tahun ini mungkin memberi rangsangan tambahan kepada industri berasaskan domestik sekali gus berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” jelasnya dalam nota kajian di sini baru-baru ini.

Berdasarkan statistik terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia, ia menunjukkan kadar pengangguran kekal 3.5 peratus pada Februari 2017 dengan pasaran buruh meningkat 1.5 peratus tahun ke tahun kepada 14.9 juta.

Ia disokong oleh pertumbuhan sederhana dalam pekerjaan pada ketika prospek ekonomi yang positif. Dengan berasaskan bulanan, kadar pertumbuhan dalam pasaran buruh dan pekerjaan adalah lebih tinggi berbanding kadar pengangguran.

Menurut MIDF Research, trend semasa itu membuktikan ekonomi negara semakin baik dan membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan apabila penyertaan pasaran buruh meningkat 0.1 peratus daripada Januari.

“Secara keseluruhan, kadar purata pengangguran di seluruh dunia menunjukkan pasaran buruh yang kukuh di tengah-tengah aktiviti perdagangan global yang semakin pulih. Thailand mi­salnya, merekodkan kadar peng­angguran terendah pada Februari dengan 1.1 peratus manakala Korea Selatan pula 4.4 peratus.

“Negara-negara membangun turut menunjukkan kadar peng­angguran yang semakin menurun, antaranya Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) mencatat kadar pengangguran pada 9.5 peratus dan 4.7 peratus. Kali terakhir EU mencatat kadar pengangguran pada 9.5 peratus ialah Mei 2009,” katanya.

Bagaimanapun, Institut Penye­li­dikan Ekonomi Malaysia (MIER) dalam sidang akhbarnya awal minggu ini, melahirkan kebimbangan terhadap masalah pengangguran terutama dalam kalangan belia.

Pengarah Eksekutif MIER, Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, ia berdasarkan kepada statistik Kementerian Sumber Manusia yang menunjukkan 200,000 belia masih menganggur daripada hampir setengah juta penganggur di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here