kabali
Cover image via Harian Metro

Filem Kabali lakonan superstar Tamil, Rajinikanth yang dilancarkan di Amerika Syarikat (AS) semalam mendapat sambutan luar biasa apabila tiket habis dijual dalam masa dua jam. Filem berkenaan ditayangkan di 400 pawagam di negara itu.

Nampaknya, pelakon legenda itu bukan saja mempunyai peminat di India, tetapi sepanjang empat dekad mencanai bakat sebagai pelakon dia berjaya mengumpul jutaan penyokong antarabangsa. Kabali adalah filem lakonannya yang ke-159 dan kali ini memegang watak gengster yang dikenali sebagai Kabalishwaran.

Bukan itu saja, nama Rajinikanth juga terkenal di Jepun. Kehebatan Kabali yang sudah dijangka sejak awal turut menarik minat syarikat pengedaran filem di Malaysia, Malik Streams Production and Distribution untuk melancarkan trailer filem itu dalam versi bahasa Melayu.

Kehebatan lakonan hero itu turut memancing perhatian pelbagai pihak termasuk syarikat penerbangan dan telekomukasi dengan mengeluarkan barangan cenderahati Kabali seperti kemeja-T, poster, sarung telefon bimbit dan ‘mug’.

Lebih istimewa, filem itu turut dirakamkan di Menara Kembar Petronas dan Batu Caves dengan menampilkan pelakon tempatan, Datuk Rosyam Nor dan Norman Hakim. Pastinya tayangan filem itu cukup dinantikan di negara ini.

Filem itu dilancarkan di seluruh dunia pada 22 Julai ini dan pada 29 Julai Kabali versi Bahasa Melayu pula dilancarkan di negara ini.

Nampaknya filem ini bakal mencetuskan fenomena luar biasa di seluruh dunia menerusi publisiti dan promosi yang dilakukan secara besar-besaran.

LEAVE A REPLY