kabali
Cover image via ibtimes.co.in

SEBAIK sahaja perkataan ‘Super Star’ terpapar di layar perak, para penonton di panggung mula bersiul dan bersorak. Malah, mereka turut mampu menyebut beberapa baris dialog sebelum sempat terletus keluar dari bibir pelakon utama, Rajinikanth. Nyata ini bukan kali pertama mereka berkunjung ke pawagam untuk menonton filem berbajet besar arahan Pa Ranjith, Kabali.

Berdasarkan skala promosi filem ini di Malaysia, sambutan sebegitu sememangnya tidak menghairankan apatah lagi dengan penampilan beberapa bintang tempatan seperti Rosyam Nor dan Norman Hakim.

Malangnya sesudah menonton, saya dapati filem ini indah khabar dari rupa.

Sisi baharu Rajinikanth

Kabali mengitar semula tema dendam dan kebangkitan semula dalam filem gangster.

Sesudah dipenjara selama 25 tahun, ketua gangster Kabali kembali bebas dan ingin membina semula empayarnya yang dimusnahkan oleh kumpulan samseng lain diketuai oleh Tony Lee (lakonan Winston Chao).

Kabali juga dalam misi membalas dendam kematian isterinya yang hamil dalam satu perbalahan besar-besaran di sebuah kuil estet.

Terlalu banyak imbas kembali tentang kehidupan Kabali sebelum dipenjara, kemudiannya diselang-seli dengan plot utama menyebabkan penceritaan filem ini tersekat-sekat.

Kepada peminat Rajinikanth yang sudah biasa dengan ‘kekebalan’ atau kekuatan luar biasa wataknya, Kabali menampilkan sisi baharu.

Rajinikanth membawa watak yang sesuai dengan usianya dan dia juga cedera selepas beberapa kali ditembak.

Pembikinan kurang teliti

Terlalu banyak kelemahan ketara dalam pembikinan Kabali yang seharusnya tidak berlaku dalam filem berbajet besar.

Ketika Kabali bebas dari penjara, dia disambut meriah oleh para penduduk di sebuah kawasan flat. Anehnya, banyak bendera Malaysia yang digantung dengan perhiasan berwarna-warni dalam sambutan tersebut.

Bukankah watak Kabali ini sememangnya rakyat Malaysia? Jadi mengapa pula ada bendera Malaysia untuk menyambutnya? Mengapa dikibar bendera kebangsaan untuk meraikan bebasnya seorang ketua gangster?

Ada dua babak imbas kembali sekitar 70-an (tidak dijelaskan dalam filem) yang dilakonkan di Dataran Merdeka.

Dalam kedua-dua babak ini, jelas sekali kelihatan logo Agro Bank (jenama yang hanya wujud pada tahun 2007) dan bas pelancongan Go KL (yang dilancarkan oleh RapidKL pada tahun 2012).

‘Penampilan istimewa’ pelakon tempatan

Kemunculan Rosyam Nor dan Norman Hakim jelas sekali merupakan cubaan penerbit untuk memikat peminat filem Melayu. Wajah mereka berada dalam hampir kesemua poster promosi.

Namun hakikatnya, mereka cuma membuat ‘cameo’ tanpa sebarang impak besar dalam filem ini.

Dalam Kabali, menurut anggaran saya, jumlah dialog Rosyam Nor jika dijumlahkan tidak sampai pun 30 baris. Kebanyakan babak hanya menampilkan Rosyam dengan wajah penuh amarah sebagai anggota kumpulan samseng Geng 43, di belakang ketua kumpulan Tony Lee.

Termasuk satu babak, Rosyam sekadar berperanan memegang sarung pedang ketuanya ketika pedang dihunus dalam satu pergaduhan.

Ini menyedihkan, terutama sekali bagi Rosyam yang sudah dua kali menggondol anugerah Pelakon Filem Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) melalui KL Menjerit dan Kala Malam Bulan Mengambang.

Aksi pertarungan antara Rosyam dan Rajinikanth sebelum penghujung filem bagaimanapun mengubat sedikit kekecewaan saya.

Norman Hakim? Langsung tiada dialog. Cuma mundar-mandir dengan senapang separa automatik dan alat komunikasi di telinga, mengawal keselamatan Geng 43.

Nyata sekali bakat mereka dibazirkan.

Sebagai sebuah filem yang memilih Malaysia (dan sejarahnya sebelum merdeka) sebagai latar tempat dan masa, Pa Ranjith seharusnya mampu mengarang lakon layar lebih baik dengan memberikan pelakon tempatan watak yang mempunyai pemberat dan bukannya sekadar penambah perasa semata-mata.

Artikel berkaitan: Kabali Cetus Kontroversi Perkauman

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here