Tuesday, May 23, 2017
Home News Entertainment Kabali Cetus Kontroversi Perkauman

Kabali Cetus Kontroversi Perkauman

350
1
kabali
Cover image via youtube.com

Filem Blockbuster Kabali lakonan bintang handalan filem Tamil, Rajinikanth yang dikatakan mencetus kontroversi di negara ini mempunyai pengakhiran berbeza daripada filem asal yang ditayangkan di tempat lain di seluruh dunia.

Pengerusi Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF), Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata, dalam masa sama, babak-babak yang menyentuh sensitiviti kaum di negara ini dan perkataan berunsur kesat atau carutan dalam filem berkenaan turut dibisukan.

“Biasanya di bawah garis panduan LPF, perlu ada beberapa jenis elemen hukuman dalam filem terutama sekali jika watak-watak yang ditunjukkan di dalam filem terlibat dengan jenayah, maka mesti ada beberapa jenis pembalasan untuk perbuatan itu.

“Oleh itu, kami meminta penerbit untuk dimasukkan pe­ngajaran dalam bentuk kapsyen pada babak akhir yang mengatakan Kabali menyerahkan diri kepada pihak polis. Ini memberikan mesej bahawa negara kita ada undang-undang dan ia tidak boleh dilaksanakan sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, beberapa adegan yang menun­jukkan keganasan me­lampau dan ngeri se­­perti adegan tetak menggunakan parang panjang, potong tangan menggunakan pe­dang dan babak tikam turut disunting bagi memenuhi syarat klasifikasi filem PG13.

“Kita telah berbincang de­ngan penerbit dan mengemukakan laporan tentang penyuntingan filem ini sebelum mengeluarkan kelulusan. Ia tidak boleh ditayangkan sebagai PG13 sekiranya adegan ganas melampau tidak dipotong tetapi walaupun suntingan dibuat, jalan cerita masih kekal.

“Langkah ini juga selaras de­ngan hasrat mereka untuk mendapatkan jumlah penonton me­luas. Bagi perkataan kesat, mencarut dan berunsur perkauman pula, kita juga sudah padamkan termasuk satu adegan kontroversi yang menggunakan perkataan ‘keling’,” jelasnya.

Tambah Abdul Halim, walaupun ada peminat filem berkenaan yang akan membuat perbandi­ngan filem asal dengan versi tempatan, beliau menegaskan, peraturan perfileman di Malaysia perlu dipatuhi terutama jika ia melibatkan isu agama atau perkauman.

“Kita amat memandang berat sensitiviti di negara ini. Jika mahu ditayangkan di Malaysia, perlu ikut garis panduan. Sekiranya keputusan lembaga tidak diikuti, tindakan di bawah Akta Penapisan Filem 2002 sama ada kompaun atau dakwa di mahkamah boleh dikenakan.

“Bagaimanapun ia hanya terpakai untuk tayangan di panggung wayang atau cetakan di cakera padat digital (DVD), bukan apa yang penonton lihat secara dalam talian atau di internet menggunakan penyedia atau server dari luar,” katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, versi asal filem berkenaan yang ditayangkan di luar Malaysia adalah hak penerbit dan dakwaan kaum India ditindas dan menjadi hamba dalam filem itu hanya merujuk kepada gambaran situasi pada zaman dahulu untuk menuntut kesamarataan.

“Secara total saya melihat filem ini sepatutnya dapat menaik­kan semangat heroisme yang ditonjolkan oleh watak Kabali yang mempertahankan maruah kaum India semasa bekerja di estet milik British di Malaysia,” katanya.

“Sepatutnya tidak timbul isu kaum India ditindas kerana perkara itu tidak berlaku sekarang dan lakonan yang dibawa Kabali adalah merujuk kepada zaman semasa dia bekerja di ladang tersebut suatu masa dahulu,” katanya.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here