Julia Perez
Cover image via @s.wulansih

Tanggal 10 Jun 2017 bersamaan dengan 15 Ramadan, seorang wanita dengan nama sebenar Yuli Rahmawati telah pulang ke rahmatullah. Pengenalan nama Yuli barangkali bukan sepotong nama yang akrab di telinga peminat, namun apabila menyebut Julia Perez atau Jupe, pantas terbayang sosok tubuh seorang wanita seksi yang penuh cerita sensasi.

Jupe sepanjang hayatnya memang dipenuhi dengan cerita sensasi, namun beberapa tahun kebelakangan sebelum meninggal dunia, portfolio wanita itu diisi dengan berita ketabahannya melawan kanser serviks yang dideritai sejak tahun 2014.

Penyakit itulah yang akhirnya menjadi penyebab pelakon dan penyanyi berkenaan meninggal dunia pada usia 36 tahun selepas terlantar di hospital sejak Februari lalu. Sedangkan, pada tahun 2015, Jupe sempat mengumumkan dia bebas daripada penyakit tersebut sebelum mengambil tindakan mengondolkan kepalanya sebagai memberi sokongan kepada pesakit kanser yang lain.

Namun, pada Jun 2016, penyakit tersebut kembali menyerang. Jupe menjual kediaman dan kenderaannya untuk menampung kos perubatan termasuk di Singapura. Bintang filem Beranak Dalam Kubur itu juga sempat dikhabarkan muflis.

Ironinya, pelbagai ikhtiar telah dilakukan pelantun lagu Belah Duren itu untuk melawan penyakit yang dihidapinya itu. Usaha terakhir yang dilakukannya di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM) adalah pembedahan usus. Tindakan itu dilakukan pada hari 8 Jun lalu, dua hari sebelum kematiannya. Ahli keluarganya mengesahkan dia boleh berinteraksi selepas pembedahan. Hal itu sekali gus menepis dakwaan Jupe meninggal dunia kerana pembedahan tersebut.

“Dia sedar, ingat sama orang dan berbicara walaupun kurang jelas kerana kesan ubat bius,” ujar bapa tirinya, Sammy kepada Jawa Pos.

Duka

Berakhirnya riwayat Jupe menjadi duka mendalam bagi sesiapa sahaja yang pernah merasakan kebaikan Jupe. Malah, bukan sedikit rakan seperjuangan bekas isteri Gaston Castano itu melahirkan rasa duka cita terhadap pemergiaan Jupe itu. Rakan-rakan seperti Ayu Ting-Ting, Luna Maya, Raffi Ahmad, Ruben Onsu dan Zaskia Gotik misalnya antara artis yang berduka dengan pemergiannya.

“Apa yang pasti, doa kami Jupe berada di syurga Allah,” ujar ayah tiri Jupe, Sammy yang setia menunggu Jupe sepanjang terlantar di hospital.

Di sebalik sensasi yang tercetus, Jupe sebenarnya bukan calang-calang. Dia merupakan bekas graduan undang-undang dari Universiti Bung Karno, Jakarta. Dalam karier seninya juga, Jupe pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Royal Bali dan Festival Filem Bandung menerusi lakonannya dalam naskhah berjudul Gending Seriwijaya.

Hakikatnya, pemergian Jupe menyaksikan betapa besarnya kuasa Allah terhadap setiap insan. Jupe yang dikenali dengan pelbagai sensasi sepanjang hayatnya, telah pulang ke pangkuan Ilahi dalam keadaan yang disifatkan banyak sahabatnya seperti ‘sedang tidur’ pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini. Pemergiaan Jupe juga begitu akrab dengan kata-kata pujangga iaitu ia bukan soal macam mana kehidupan lampau, tetapi bagaimana pengakhiran hidup kita pada akhirnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here