Pelan Tindakan Banjir

KUALA TERENGGANU, 8 Nov — Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah bersedia dengan pelan tindakan banjir dan mengenal pasti semua pusat peperiksaan dan laluan yang berisiko dilanda banjir serta bersedia dengan pusat peperiksaan alternatif bagi memudahkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki peperiksaan itu.

Pengarah JPNT, Shafruddin Ali Hussin berkata semua pejabat pendidikan daerah dan sekolah mempunyai bilik gerakan banjir bagi memudahkan pelarasan dibuat sekiranya berlaku banjir sepanjang tempoh peperiksaan.

“Paling penting, semua sekolah mempunyai data lengkap calon terutama alamat rumah mereka kerana jika laluan ke pusat peperiksaan dinaiki air, kita akan sediakan kenderaan khas untuk memastikan calon tetap hadir duduki peperiksaan.

Nasihat saya kepada ibu bapa juga agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai banjir dan patuh kepada arahan diberi sekiranya anak mereka perlu berpindah ke asrama untuk memudahkan pergerakan calon SPM,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sebanyak 20,528 calon menduduki SPM di 169 pusat peperiksaan seluruh Terengganu dan daripada jumlah itu, 40 pelajar adalah calon berkeperluan khas.

Shafruddin berkata pihak sekolah juga perlu menyimpan semua peralatan penting di tempat yang selamat bagi mengelak berlaku kerosakan sepanjang musim tengkujuh yang akan datang.

“Ini adalah prosedur biasa setiap tahun kerana banjir memang akan berlaku terutama di kawasan rendah cuma kesannya kita tidak tahu sama ada sangat teruk atau terkawal,” katanya.

LEAVE A REPLY