Johan
Cover image via mStar.com.my

MENYEBUT sahaja nama pasangan popular ini, pasti ramai mengenali mereka. Ditambah pula dengan kehebatan sang suami yang bijak menambat hati penonton dengan lawak jenakanya sehingga tidak kering gusi. Disatukan dalam ikatan sah pada tanggal 25 Julai 2009, Johan atau nama sebenarnya, Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz dan Rozlinawaty Ismail atau lebih dikenali sebagai Ozlyn kini bahagia menyulam cinta melayari bahtera perkahwinan yang memasuki tahun ketujuh.

Biarpun dikelilingi limpahan kebahagiaan, pasangan ini dikhabarkan tidak lagi sebulu, malah mengambil keputusan mengisytiharkan ‘perang’.

Usah terlalu cepat mentafsir perihal hubungan mereka. Tiada apa perlu dibimbangkan mengenai rumah tangga selebriti tersebut kerana kedua-duanya saling menyayangi dan melengkapi antara satu sama lain.

Ia hanya sekadar ‘drama’, perbalahan pasangan romantis itu dapat disaksikan penonton menerusi program televisyen, Super Spontan Superstar yang akan memulakan siaran pada 5 Ogos ini di saluran Astro Warna (132) dan tayangan serentak di Mustika HD (134).

Disiarkan secara langsung buat julung-julung kalinya peminat berpeluang menyaksikan pasangan ini saling bersaing dan mempamerkan kemahiran berlawak demi merebut gelaran juara.

Teruja dengan tawaran diberikan, Ozlyn menyifatkan peluang menyertai rancangan tersebut sesuatu yang sukar dilepaskan.

Bukan kerana dapat memantau aktiviti suami, Ozlyn yang merupakan pengurus kepada Johan turut berkesempatan mempamerkan kebolehan berlawak secara spontan.

“Pada awalnya saya agak ragu-ragu untuk menerima tawaran tersebut tetapi setelah difikirkan, tidak salah ingin mencuba, sementelah ia bukan selalu dilakukan.

“Tambahan sebelum ini saya sering melihat suami beraksi di atas pentas, kini tiba giliran saya merasakan sendiri pengalaman menghiburkan penonton,” ujarnya.

Berbicara mengenai debaran pertama kali bersaing sesama sendiri, Johan memberitahu, kemunculannya dalam program tersebut tiada kaitan dengan soal bayaran.

Persaingan

“Saya menerima tawaran ini bukan kerana bayaran. Perkara paling penting adalah industri hiburan tetap diwarnai dengan kehadiran pelawak yang kini semakin mendapat tempat dalam bidang hiburan,” jelas Johan saat diminta mengulas mengenai menerima bayaran paling mahal berbanding personaliti lain.

Seramai 16 peserta termasuk Johan dan Ozlyn bertarung merebut gelaran juara, sekali gus membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000.

Naib juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing bakal membawa pulang RM50,000 dan RM25,000.

Selepas berjaya mendapat tempat ketiga menerusi program Raja Lawak pada tahun 2007, Johan kini mampu memberi saingan sengit kepada barisan pelawak lain tidak mengira baharu mahupun lama.

Berkemahiran menyampaikan lawak secara spontan, Johan tidak menjadikan kelebihan itu sebagai jalan pintas untuk menewaskan pesaing lain terutama peserta yang pertama kali menyertai Super Spontan Superstar.

Berusaha untuk berlaku adil, dia melepaskan ketawa besar saat berkongsi strategi menyingkirkan isteri tercinta daripada terus menjadi pesaing dalam program tersebut.

“Saya akan beri peluang kepada selebriti lain terlebih dahulu untuk memulakan permainan dan tiada istilah siapa lebih menyerlah kerana kesemuanya mendapat hak sama rata.

“Perancangan untuk menang itu pasti ada terutama strategi menyingkirkan dia (Ozlyn) pada minggu kedua, sekali gus menjadi peserta pertama tersingkir,” seloroh Johan.

Suasana gamat dengan gelak ketawa ekoran Johan tidak henti-henti mengusik isterinya. Pelakon filem Bujang Telajak itu turut mengakui akan berlaku adil jika ditakdirkan terpaksa bersaing dengan belahan hatinya kelak.

“Sekiranya takdir menemukan kami di gelanggang Super Spontan Superstar, saya berusaha untuk meminimumkan lawak. Bukan kerana dia isteri tetapi itu memang keinginan saya,” kata Johan sambil melepaskan pandangan ke arah isterinya.

Pecah otak

Jika sebelum ini dia melihat gelagat suaminya menghiburkan penonton di atas pentas tampak mudah, kini Ozlyn sendiri merasai bagaimana emosi pelawak berusaha menggeletek penonton dengan lawak jenaka.

Kagum dengan kemahiran suami yang bijak mencari ilham demi memberikan persembahan terbaik buat peminat, Ozlyn turut menyanjungi kerjaya sebagai pelawak kerana ia bukan tugas mudah.

“Sebelum ini apabila menjadi penonton saya gemar mengkritik Johan saat dia membuat persembahan.

“Bagaimanapun, apabila diri sendiri berada di tempat sama, saya mula dapat merasai tekanan memerah otak demi mencari idea menghiburkan penonton,” tutur Ozlyn bersungguh-sungguh.

Dia kemudian turut mengakui agak gementar bersaing dengan suami yang sememangnya lebih ‘pakar’ dalam bidang tersebut.

Biarpun menyedari perkara itu, Ozlyn tetap tidak gentar serta menanam azam untuk menewaskan Johan, sekali gus menjadi selebriti wanita pertama bergelar juara.

“Saya faham bukan mudah untuk membuat penonton ketawa tetapi sejujurnya apabila telah menyertai rancangan ini, keinginan memburu gelaran juara itu ada.

“Biarpun Johan merupakan pakar dalam bidang ini, hal tersebut bukan suatu penghalang mahupun mematahkan semangat saya,” ujarnya optimis.

Selain Johan dan Ozlyn, barisan pelawak serta pelakon popular tanah air seperti Kamal Adli, Julia Ziegler, Altimet, Waris, Amyza Adnan, Abam Bocey, Fad Bocey, Achey, Tauke, Syuk Joras, Ali Putih dan Zulin Aziz akan menjadi pesaing dalam program ini.

Dua personaliti media sosial terkenal iaitu Zukiee dan Jamal tidak terkecuali bertarung dalam pertandingan kali ini.

Artikel berkaitan: Kelainan Super Spontan Superstar 2016

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here