JHO LOW
Foto hadapan oleh FMT

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam secara sinis menyeru ahli perniagaan, Jho Low yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) agar pulang ke Malaysia.

Tuan Ibrahim berkata, Jho Low akan selamat di Malaysia malah kepulangannya itu nanti akan dirai dengan meriah.

“Tiada tempat yang lebih selamat bagi Jho Low, yang kini disebut-sebut di pelbagai negara kerana dikaitkan dengan tuduhan-tuduhan mengenai kekayaannya dikatakan berpunca daripada duit 1MDB selain Malaysia.

“Apabila Jho Low kembali ke Malaysia, yakinlah dia akan dirai. Malah akan dijemput makan bersama oleh VIP-VIP untuk membincangkan projek seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.

jho low
Jho Low dinamakan dalam saman sivil oleh DOJ

Jho Low baru-baru ini dinamakan dalam saman sivil difailkan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) sebagai antara individu yang didakwa terlibat dalam konspirasi mengubah wang haram daripada 1MDB.

Malah kata Tuan Ibrahim, dengan penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, Jho Low tidak sepatutnya berasa bimbang.

“Baliklah Jho Low. Tak perlu malu-malu. Nak berjoli, berjolilah di Malaysia, sekurang-kurangnya duit yang ada itu digunakan di dalam negara. Malah, kerajaan boleh kutip GST lagi dan Malaysia Official 1 pun boleh rasa lega kerana anda tidak direman di mana-mana negara.

“Kini, lega Jho Low boleh bertambah malah dia boleh rasa lebih selamat kerana Akta Majlis Keselamatan Negara sudah pun dikuatkuasakan,” katanya.

Rang Undang-undang MKN, yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan, telah diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Disember 2015 sebelum diluluskan pula Dewan Negara pada 22 Disember 2015 dan diwartakan menjadi undang-undang pada 7 Jun lalu.

LEAVE A REPLY