Elly Mazlein
Cover image via Berita Harian

Penyanyi, Elly Mazlein, mengaku single terbaru nyanyiannya, Jeritan Hati, sememangnya menggambarkan kisah hidup beliau.

Menurut artis sensasi itu, sewaktu meneliti lirik lagu berkenaan, hatinya jadi tersentuh sekali gus membuatkan beliau lebih menghayati karya berentak balada terbabit ketika proses rakaman dilakukan.

“Ketika mula-mula dengar melodi lagu ini, saya sudah tertarik dengannya. Selepas membaca liriknya, saya menangis kerana ia tepat menggambarkan kisah hidup saya.

“Bagaimanapun, ketika rakaman, saya dapat mengawal perasaan untuk tidak mengalirkan air mata,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu berkenaan semalam.

Lagu itu dicipta oleh Manusia Putih manakala liriknya pula hasil nukilan komposer yang menghasilkan melodi Lelaki Teragung, Natasha.

Sekitar tahun lalu, Elly mencetuskan kontroversi apabila kisah perceraiannya dengan bekas suami, Azmi Hatta, yang juga pengarah drama, menjadi sensasi di media dan laman sosial.

Kontroversi semakin hangat apabila ia turut mengaitkan pelakon, Faye Kusairi, yang kini sudah pun menjadi isteri lelaki itu sejak beberapa minggu lalu.

Ditanya apakah dirinya tidak risau jika netizen terus menuduhnya tak dapat melupakan kontroversi lama dengan kemunculan lagu terbabit, pemilik nama penuh Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ini menegaskan, beliau sudah tidak kisah dengan apa saja tanggapan negatif dilemparkan terhadapnya.

“Biarlah mereka hendak berkata apa pun, saya iyakan saja. Lagipun, bukan saya yang meminta penulis lirik itu menceritakan kisah saya.

Sebaliknya lagu itu sudah siap sepenuhnya ketika mereka menghantar rakaman demonya kepada syarikat rakaman saya,” tegas penyanyi berusia 36 tahun ini.

Elly turut memberitahu, beliau menerima sepuluh lagu bagi pembikinan single terbarunya, namun hanya sebuah yang dipilih bagi tujuan berkenaan.

Baca lagi: Elly Mazlein Teruskan Perjuangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here