janna nick
Cover image via Berita Harian

Demi tuntutan watak sebagai inspektor polis, pelakon, Janna Nick, sanggup memotong pendek rambutnya seperti lelaki.

Menerusi supertelefilem berjudul Bo Bajet yang mula menjalani penggambaran esok, beliau sekali lagi bergandingan dengan Saharul Ridzwan, pelakon yang pernah mencipta fenomena bersamanya dalam drama Kau Aku Kita.

Saya sudah lama mengidamkan watak sebagai inspektor polis. Sewaktu di sekolah dulu pun saya pernah aktif dalam persatuan kadet polis.

Akhirnya watak idaman itu jadi milik saya. “Istimewanya juga, saya kembali menjadi kekasih kepada Saharul Ridzwan dalam projek lakonan terbaharu ini.

Sebelum supertelefilem ini, kami turut berlakon bersama dalam telefilem khas, Trauma, yang dihasilkan sempena Drama Festival Kuala Lumpur tahun depan,” kata penyanyi lagu Mungkin Saja itu.

Sementara itu, kejayaan terbaharu Kau Aku Kita pada Anugerah Skrin (ASK) 2016 dalam kategori Drama Rantaian Popular Media Sosial bagai membuktikan gandingan Janna dengan Saharul masih relevan.

Pada DFKL 2016 Mac lalu, drama terbabit turut memenangi kategori Drama Pilihan, Pengarah Pilihan dan Skrip Pilihan.

Malah, Janna dan Saharul masing-masing dinobatkan sebagai Aktor dan Aktres serta Pasangan Pilihan.

“Biarpun drama itu sudah lebih setahun berlalu, peminat nampaknya seperti tidak boleh melupakannya.

Bahkan, ada yang terus mengundi kami di media sosial sehingga memberikan kemenangan pada ASK 2016,” katanya.

Dalam pada itu, Janna memaklumkan dirinya bakal terbabit dengan penggambaran drama 60 episod berjudul Dia, hasil kerjasama produksi Malaysia-Indonesia.

“Dalam drama berkenaan, saya akan bergandingan dengan pelakon Indonesia, Irwansyah. Berkemungkinan besar penggambaran akan dimulakan pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan di kedua-dua negara,” katanya.

Baca lagi: Janna Nick, Hafidz Cuti Sempena Ramadhan

LEAVE A REPLY