JAMAL

SHAH ALAM: Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini melancarkan Bersih 7 Selamatkan Selangor sebagai gerakan menyelamatkan negeri tersebut daripada kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Datuk Mohamed Azmin Ali yang didakwa ‘tidak selamat.’

Kata Jamal, Bersih 7 akan menjelajah ke 700 lokasi sekitar Selangor dalam masa empat bulan dengan Sekincan menjadi lokasi pertama jelajah tersebut yang akan bermula Sabtu ini dan berakhir April tahun depan.

Menjelaskan pemilihan nama program tersebut, Jamal berkata ia sebagai menunjukkan definisi sebenar ‘bersih’ itu kepada rakyat, terutamanya di Selangor susulan perhimpunan Bersih 5 tempoh hari yang disifatkannya gagal.

“Ia berdasarkan tujuh perkara yang kami tuntut dan kita ambil nama bersih (Bersih 5) yang telah gagal supaya nama bersih ini benar-benar ‘bersih’.

“Kita nak bersihkan kerajaan Selangor yang kotor, korup, menipu dan penyamun ini,” katanya dalam sidang media pelancaran program tersebut di hadapan pintu masuk bangunan pentadbiran negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.

Bersih 7 menuntut kerajaan negeri yang telus, bersih dan berintegriti; manifesto dan janji pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, keperluan air bersih, penyelewengan wang rakyat, pemilikan rumah mampu milik, penghapusan kronisme dan kerajaan ‘carca marba’.

Jamal yang juga Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar memaklumkan bahawa beliau yakin program itu akan berjaya mencapai matlamatnya apabila berakhir menjelang PRU ke-14 sekaligus menyaksikan kerajaan Selangor kembali kepada Barisan Nasional (BN).

“Saya percaya lepas tu rakyat Selangor akan percaya tentang kewibawaan kerajaan BN dan penipuan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Jamal berkata beliau tidak kisah dipanggil kotor dan busuk.

“Tetapi orang sebelah saya kata saya sentiasa wangi, rakan-rakan media selalu rapat dengan saya, mereka tak pernah merungut.

“Saya sebulan pun tak mandi tetapi kerana jiwa, hati saya ini bersih dan murni, segala kekotoran yang ada pada luaran saya akan dibersihkan daripada dalaman saya,” ujarnya.

Jamal dibebaskan dari tahanan reman pada Selasa dari ibu pejabat polis Ampang Jaya dengan jaminan polis.

Dia ditahan selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung insiden pukul di sebuah pusat beli-belah di Ampang, Ahad lepas.

Jamal ditahan kira-kira pukul 1.30 pagi Sabtu di sebuah hotel  di ibu negara.

Sejurus dibebaskan Jamal mengumumkan akan menggerakkan program ‘Bersih 7’ dengan matlamat menyelamatkan negeri Selangor daripada kerajaan yang dipimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

LEAVE A REPLY