jakim
Cover image via pcmag.com

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos lalu yang tidak membenarkan umat Islam di negara ini bermain aplikasi Pokemon Go atas pelbagai faktor termasuk membawa kepada kemudaratan.

Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha (gambar kecil) berkata, keputusan tersebut selari dengan pandangan hukum oleh negara-negara Islam lain termasuk Arab Saudi yang telah mengharamkan permainan Pokemon Go kerana boleh mengancam keselamatan sehingga meragut nyawa.

“Permainan ini juga nyata mendatangkan kesan yang negatif kepada golongan kanak-kanak dan remaja,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook Jakim di sini semalam.

Justeru itu, Othman berkata, pihaknya menyeru umat Islam di negara ini agar menghindarkan diri daripada terjebak dengan permainan Pokemon Go.

“Saranan ini juga selaras dengan kaedah syarak Saddu Al-Zara’i iaitu kita perlu mencegah atau menyekat jalan yang boleh membawa kepada kerosakan dan kemudaratan kepada diri kita,” jelas beliau.

Permainan Pokemon Go yang menjadi fenome­na dunia semakin hangat diperkatakan di Malaysia selepas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan Me­syuarat Jawatankuasa Perundingan­ Hukum Syarak Wilayah Per­sekutuan memutuskan permainan tersebut haram.

Artikel berkaitan: Umat Islam Digesa Hindari Pokemon Go

LEAVE A REPLY