Izreen Azminda
Cover image via beautifulnara.com

PENGALAMAN berdepan dengan kegagalan rumah tangga bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilalui oleh setiap wanita. Sesungguhnya, kekecewaan itu benar-benar meninggalkan parut luka di lubuk hati yang terdalam. Begitu juga dengan pengalaman hidup pelakon bernama Izreen Azminda. Menggalas tugas sebagai ibu tunggal membuatkan wanita itu takut untuk membuka hatinya kepada mana-mana cinta baharu.

Bukan trauma, namun sebagai ibu kepada anak yang baru berusia tiga tahun, Muhammad Adrian Umar, Izreen mengakui, takut jika lelaki baharu yang dikenali nanti tidak boleh menerima putera tunggalnya.

“Terus terang dikatakan, buat masa ini hati saya belum terbuka untuk menerima cinta mana-mana lelaki. Saya tidak yakin dengan lelaki sekarang, tambahan pula saya merupakan ibu tunggal yang mempunyai anak.

“Bukan trauma, tetapi saya takut adakah lelaki itu boleh menerima anak saya seadanya. Mungkin dia boleh menerima saya, tetapi bagaimana dengan anak saya,” ujarnya yang ditemui semasa majlis pelancaran produk kecantikan Eryns di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Meskipun begitu, pemilik nama Izreen Azminda Aznam itu memberitahu, dia tetap bahagia dengan kehidupannya kini walaupun tanpa kehadiran cinta lelaki.

Malah katanya, dia lebih tenang kerana tidak perlu berperang dengan emosi mahupun sakit hati seperti yang dilalui kebanyakan pasangan bercinta.

“Alhamdulillah kehidupan saya kini lebih bahagia dan tenang kerana tidak terikat dengan sebarang hubungan cinta.

“Saya lebih bebas untuk melakukan apa sahaja kerana tidak mempunyai komitmen cinta. Selepas habis kerja, saya boleh pulang ke rumah terus berjumpa dengan anak. Perkara ini membuatkan saya lega kerana tidak perlu berasa makan hati dan gangguan emosi,” terangnya tersenyum.

Tolak cinta sesama artis

Merancakkan bicara, pelakon berusia 31 tahun itu kemudian diusulkan topik tentang lelaki yang pernah mendekati dirinya. Tertawa mendengar perkara tersebut, tanpa berselindung ibu muda itu lantas mengiyakannya.

“Benar memang terdapat beberapa lelaki cuba mendekati saya, namun semuanya masih belum benar-benar menepati cita rasa.

“Jika saya mahu, biarlah lelaki tersebut kukuh daripada segi kewangannya. Bukan saya mahukan anak datuk, tetapi cukup dia mempunyai kerjaya, kewangan yang kukuh selain boleh menyayangi saya dan anak sepenuh hati,” tuturnya tenang.

Melihat kepada trend lelaki muda yang gemar bersama wanita berusia, sengaja Izreen diusik dengan persoalan sama. Ternyata wanita itu telah menetapkan satu prinsip dalam babak cinta hari mukanya.

Bersikap terbuka, Izreen turut mengakui selesa bersama lelaki yang lebih muda, namun dia menegaskan ingin mengelak daripada terjebak percintaan sesama selebriti.

“Bagaimanapun, sebolehnya saya akan mengelak untuk bercinta dengan selebriti. Cukuplah sekadar mencipta keserasian bagi menjayakan watak lakokan sahaja. Lebih daripada itu, saya tidak mahu,” tegasnya.

Tolak Amar Baharin

Beralih soal kerjaya, pelakon yang popular menerusi drama rantaian Kerana Terpaksa Aku Relakan itu memberitahu, selain menetapkan tidak mahu dikaitkan cinta sesama selebriti, dia berpegang satu syarat dalam lakonan.

Jelas Izreen, dia akan menolak sekiranya tawaran lakonan yang datang akan menggandingkan dirinya bersama pelakon Amar Baharin.

Umum mengetahui bahawa Izreen dan Amar Baharin pernah mempunyai sejarah hitam, mereka dikaitkan bercinta sewaktu sama-sama menjayakan drama Kerana Terpaksa Aku Relakan.

“Terus terang, saya tidak akan berlakon dengan Amar Baharin. Sebelum berlakon, saya akan bertanya kepada penerbit siapa pelakon terlibat dan jika Amar ada dalam drama tersebut, saya pasti akan menolaknya.

“Bukan tidak boleh bersikap profesional, tetapi saya memang tidak boleh bekerja dengan orang yang pernah memberi kesan dalam hidup saya,” tegasnya sambil menambah tidak mempunyai perasaan dendam, tetapi enggan mempunyai sebarang kaitan dengan pelakon lelaki itu.

Bercerita tentang perkembangan karier terkininya, tidak lama lagi Izreen akan memulakan penggambaran drama untuk tayangan RTM bersama pelakon Keith Foo dan Amar Asyraf.

Sengaja mengambil hanya satu tugasan dalam satu masa, ujar Izreen keputusan tersebut dilakukan demi untuk memberi sepenuh perhatian kepada anak tunggalnya.

“Drama sebanyak 13 episod yang akan saya lakonkan nanti berjudul Kesetiaan. Setakat ini, satu sahaja tawaran yang saya terima dalam satu masa.

“Keputusan ini memang sengaja saya ambil kerana tidak mahu mengabaikan anak. Saya seorang ibu tunggal, jika saya bekerja tanpa henti, nanti ia akan memberi kesan terhadap tumbesaran anak,” ujarnya seraya menggulung bicara.

Baca lagi: Izreen Azminda lebih Selesa Solo

LEAVE A REPLY