Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,
Saudara dan saudari sekalian,

1. Alhamdulillah, sekali lagi kita diberi kesempatan untuk menyambut peristiwa Israk dan Mikraj pada 27 Rejab, dimana pada tarikh tersebut, junjungan besar Rasullullah SAW telah menjalani suatu perjalanan dari Baitulmaqdis ke Siratulmuntaha untuk menerima tanggungjawab sebagai pemimpin ummah secara rasminya dari Allah SWT.

2. Peristiwa yang dikenali sebagai Israk dan Mikraj ini adalah salah satu daripada beberapa keistimewaan yang diperolehi oleh Nabi Muhammad SAW, yang tidak diperoleh nabi-nabi yang lain. Peristiwa ini bagi sesetengah manusia bukanlah sesuatu yang boleh diterima kerana perjalanan Baginda tidak dapat mereka gambarkan secara lojik fizikal, tetapi bagi Allah SWT, segalanya boleh berlaku atas kehendak-Nya. Nabi Muhammad SAW melakukan perjalanan itu dalam tempoh semalaman dan menerima perintah khusus daripada Allah SWT, perintah yang akhirnya merupakan kewajiban setiap umat Islam dan wajib dilaksanakan dengan tertib. Peristiwa ini berlaku setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah, yang kemudiannya menjadi model pengurusan pentadbiran Islam yang berjaya dalam perkembangan dakwah dan hubungan pelbagai agama yang harmoni.

3. Meskipun peristiwa Israk dan Mikraj berlaku lebih 1400 tahun lalu, ia tetap menjadi suatu peristiwa besar yang bukan sahaja disambut oleh umat Islam seluruh dunia, bahkan ia menjadi petunjuk penting betapa besarnya kuasa Allah SWT yang tidak dapat dijangkau oleh keintelektualan manusia hingga kini. Peristiwa ini juga memuktamadkan kewajiban melaksanakan sembahyang lima waktu sehari semalam dan Rasullullah SAW dapat menyaksikan sendiri akan kebesaran Allah SWT, sebagaimana diterangkan dalam surah al-Israa ayat pertama yang bermaksud :

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

4. Iktibarnya, peristiwa Israk dan Mikraj ini mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara umat Islam khususnya dan sesama manusia amnya, kerana ia menggambarkan betapa besar dan pentingnya penyempurnaan akhlak dalam hidup. Rasullullah SAW sebagai model ‘pembinaan akhlak yang mulia dan luhur’ berjaya menyampaikan misi dakwah dan seterusnya menyatukan manusia secara meluas dan berkesan. Kalau sebelumnya, pelbagai etnik di Semenanjung Arab lebih terarah kepada ‘kekabilahan’, maka dengan kehadiran Islam dan kepimpinan Rasullullah SAW, seluruh tembok ‘perpecahan’ dan ‘perkauman’ berjaya diruntuhkan.

5. Beriltizamkan itu juga, maka Malaysia telah mengambil pendekatan dengan sentiasa meraikan kepelbagaian, kerana kepelbagaian itulah yang menjadi teras kekuatan masyarakat dan negara. Apa yang perlu dikembang dan diperkasakan ialah bagaimana menjadikan kepelbagaian itu sebagai teras dalam perpaduan ummah dan pembinaan negara bangsa, dan setiapnya wajib dihormati sebagaimana kita memerlukan penghormatan daripada orang lain.

6. Dengan mengambil beberapa peristiwa dan pergolakan yang berlaku di luar negara, Malaysia bukan sahaja dilihat sebagai sebuah negara yang ‘aman, harmoni dan berdaya saing’ bahkan semakin mencipta pencapaian besar dalam pelbagai bidang, termasuk kestabilan politik, pengurusan ekonomi yang cekap, pusat pelaburan asing dan pembangunan modal insan. Semuanya itu menggambarkan usaha dan keringat perjuangan besar pemimpin-pemimpin dengan sokongan rakyat yang setia. Manakala mereka yang merasa ‘curiga’ dan ‘sangsi’ akhirnya akan merasakan aib sendiri kerana yang dikendung berciciran dan yang dikejar semakin jauh. Inilah sesuatu yang wajib kita pelajari dan ingati berdasarkan apa yang boleh difahami daripada peristiwa Israk dan Mikraj dalam konteks ‘keintelektualan manusia’ sebagaimana dijelaskan :

“Dia (Allah) menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah Nahl : 8) ; dan, “Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan me¬lainkan sedikit.” (Surah al-Isra : 85).

7. Akhirul kalam, saya dan keluarga mengajak semua umat Islam di negara ini bersama-sama menjadikan Peristiwa Israk dan Mikraj sebagai iktibar kita bersama. Semoga dengan penghayatan kita kepada peristiwa hebat ini menjadikan hari esok kita lebih baik daripada hari ini. Insya-Allah.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here