Iskandar Zulkarnain

SHAH ALAM  – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu mempersiapkan perseorangan kedua negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin dengan ‘senjata’ yang paling ampuh selain kepelbagaian corak permainan untuk meningkatkan tahap permainannya pada masa akan datang.

Legenda badminton negara Datuk Misbun Sidek berkata pemain berusia 25 tahun itu sedang dalam fasa peralihan untuk me­langkah ke dalam dunia pemain elit dan memerlukan masa yang agak panjang untuk menyesuaikan diri.

Katanya, masih belum terlambat untuk pemain kelahiran Muar, Johor itu me­ningkatkan tahap permainannya meskipun pada hakikatnya tumpuan terhadap pemain sewajarnya diberikan sejak beberapa tahun lalu.

“Saya melihat tahap permainan Iskandar masih mendatar ke­rana dia tidak boleh menggunakan satu corak permainan untuk menewaskan semua lawannya.

“Sewaktu menentang (Jan O) Jorgensen di suku akhir (Siri Super Terbuka China), saya nampak dia seorang yang tahan lasak selain berbakat, sekarang ini kita perlu fikir macam mana cara untuk membina ‘senjata’ bagi dia berdepan lawan yang berbeza.

“Dia memerlukan corak permainan khusus untuk setiap lawan, untuk Jorgensen lain cara­nya, Lin Dan lain kaedahnya begitu juga ketika berdepan Chen Long. Tidak boleh bergantung kepada cara yang sama.

“Kita perlu bina ‘senjata’ dia termasuk serangan, jumping smash, drop shot dan banyak lagi perkara,” katanya ketika ditemui semasa Kejohanan Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan 2016 di Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.

Dalam pada itu, bekas ketua jurulatih perseorangan negara itu memberitahu barisan jurulatih terbaik perlu ditempatkan bersama barisan pemain muda untuk membolehkan mereka meningkatkan tahap permainan lebih cepat.

Katanya, pada waktu ini kebanyakan jurulatih handalan negara ditempatkan bersama barisan pemain elit, menja­dikan kebanyakan pemain muda tidak mampu meningkatkan kualiti permainan mereka.

“Sekiranya jurulatih yang disifatkan sebagai jurulatih junior, barisan pemain muda negara akan berdepan masalah untuk naik dengan cepat.

LEAVE A REPLY