Isa Samad

Pejabat Perdana Menteri pada 19 Jun 2017 telah mengumumkan langkah-langkah penting yang diambil Kerajaan dalam usaha memulihkan kembali imej FELDA Global Ventures (FGV). Berasaskan kepada maklumkan jawatankuasa laporan bebas yang diketuai oleh Dato’ Sri Idris Jala, Kerajaan mendapati terdapat asas kukuh untuk FGV mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) berhubung isu melibatkan prosedur kontrak syarikat subsidiary FGV.

Dalam kenyataan media berkenaan juga Pejabat Perdana Menteri menegaskan tiada mana-mana individu boleh dikatakan bersalah sehingga dibuktikan dalam proses pengadilan yang dilalui. Kerajaan turut bersetuju bahawa satu perubahan radikal diperlukan di FGV bagi meningkatkan semula amalan tadbir urus korporat dan kawalan perniagaan yang telus sama ada di peringkat Kumpulan atau Subsidiari. Sehubungan itu, Kerajaan telah mencadangkan FGV untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi meneliti penerapan amalan-amalan ini dalam pengurusan korporat konglomerat berkenaan.

Kerajaan juga bimbang dan prihatin dengan penurunan prestasi kewangan yang ditunjukkan FGV dan FELDA sejak kebelakangan ini dan satu usaha yang lebih komprehensif perlu digerakkan bagi memastikan aspek perniagaan FGV dan FELDA mampu menjana keuntungan yang bersesuaian dengan kos operasinya. Aspek kepimpinan, strategi perniagaan dan model operasi harus menjadi keutamaan FGV dan FELDA. Sehubungan itu, Kerajaan memutuskan untuk melantik Tan Sri Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi FGV menggantikan Tan Sri Isa Samad. Pelantikan Sulaiman ini dilihat satu langkah baik berasaskan kepada pengalaman beliau dalam bidang tadbir urus sebelum ini.

Setiap langkah yang diumumkan Kerajaan ini boleh disifatkan sebagai satu usaha pemulihan yang positif dan dilihat mampu memberikan nilai tambah kepada pengurusan lebih cekap FGV dan FELDA. Hal ini juga menunjukkan tahap keprihatinan Kerajaan mengenai urus tadbir syarikat ini. Namun begitu, satu langkah Kerajaan yang disifatkan canggung dan tidak bersesuaian ialah melantik bekas Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkuatkuasa serta-merta.

Ini bukan satu langkah yang baik malah bakal memberikan kesan besar terhadap nilai integriti yang dipegang Kerajaan selama ini. Umum mengetahui bahawa Tan Sri Isa merupakan sebahagian daripada individu yang turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kecurangan korporat dalam FGV dan tindakan Kerajaan memindahkan beliau ke SPAD adalah tidak wajar kerana boleh dilihat sebagai satu usaha untuk menyelamatkan Tan Sri Isa dan memberikan pandangan umum bahawa beliau tidak bersalah.

Seseorang yang terpalit dengan isu-isu integriti seperti ini sewajarnya tidak diberikan peluang untuk mengetuai organisasi penting seperti SPAD. Perkara paling perlu ialah memberikan ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan jika terbukti Tan Sri Isa tidak bersalah, maka ketika itu pelantikan di SPAD dilihat tidak bermasalah. Namun pelantikan pada waktu kini jelas menunjukkan ada sesuatu yang disembunyikan.

Jika dilihat dengan teliti, prestasi kewangan FGV ketika Tan Sri Isa menjadi Pengerusi juga bukanlah mencatatkan rekod membanggakan, sehubungan itu tiada sebarang justifikasi kukuh untuk Kerajaan melantik beliau sebagai Pengerusi SPAD melainkan ini hanya akan dilihat sebagai muslihat politik semata-mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here