interchange
Cover image via Astro Gempak

Selepas Interchange mendapat sambutan luar biasa di tayangan dunia Filem Festival Locarno 5 Ogos lalu, kini filem tersebut juga telah dijemput ke tayangan perdana Amerika Utara di Filem Festival Toronto pada September depan.

Ini merupakan pemilihan kedua berturut-turut ke Toronto, selepas filem arahan Dain Iskandar Said sebelum ini, BUNOHAN dipilih untuk tayangan perdana dunia pada tahun 2011.

Pada tahun 2011, BUNOHAN dipilih untuk tayangan dunia di bawah kategori Discovery dan kini INTERCHANGE telah dipilih di bawah kategori Vanguard.

Kategori Vanguard meliputi filem-filem arthouse (seni) dan bergenre cemas yang tidak disangkakan, kisah yang menyeronokkan hingga ke cerita yang memaparkan kejutan. Vanguard juga meliputi filem-filem berunsur gelap, dengan ciri-ciri transgresif dan berbahaya.

Filem Festival Toronto yang dianjurkan sejak 1976 ini dianggap sebagai salah satu festival filem yang paling berprestij di dunia.

elepas mendapat berita filemnya terpilih sekali lagi, Dain Said menyatakan kesyukuran yang tidak terhingga kerana filem Malaysia diterima di peringkat dunia.

Selain Interchange, antara filem yang bakal ditayangkan termasuklah Snowden oleh Oliver Stone, The Salesman oleh Asghar Farhadi , Paterson oleh Jim Jarmusch dan Nocturnal Animals oleh Tom Ford.

Filem ini diterbitkan oleh Apparat dan dibiayai oleh Sonneratia Capital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDec) dan Seeing Eye Films dengan kerjasama Filem Nasional (FINAS). Interchange juga diterbitkan bersama penerbit Indonesia, Cinesurya.

Berita gembira ini diterima sebaik sahaja rombongan Interchange dalam perjalanan pulang dari Locarno, Switzerland untuk tayangan dunia mereka.

Interchange ditayangkan di lapangan terbuka Piazza Grande, Pengarah Dain Said bersama barisan pelakon yang hadir dijemput oleh pengarah artistik festival tersebut, Carlo Chatrian untuk memberi ucapan di hadapan ribuan penonton yang hadir pada tayangan tersebut.

Filem lakonan Shaheizy Sam dan Nicholas Saputra ini bakal ditayangkan di Malaysia bermula 1 Disember 2016.

Sinopsis:

DETEKTIF MAN (SHAHEIZY SAM), bersama rakannya ADAM (IEDIL PUTRA), seorang jurufoto forensik, terlibat di dalam satu kes pembunuh bersiri yang amat mengerikan sehingga ianya memberi igauan serta kesan amat mendalam kepada Adam.

Sejak dari peristiwa tersebut, Adam mula menyendiri dan menghindari dunia nyata dengan mengambil foto dari beranda apartmennya. Dari lensa kamera beliau, Adam mengintip IVA (PRISIA NASUTION), seorang wanita misteri berasal dari Borneo yang baru sahaja berpindah ke apartment bertentangan.

Tatkala itu, mulalah Adam diselinap masuk ke dalam dunia penuh misteri Iva. Pada masa yang sama, Man berjaya memecah kebuntuan kes-kes pembunuhan yang berlaku. Akhirnya, mulalah konflik dengan pelbagai kejadian-kejadian mistik, ngeri dan kepercayaan dahulukala yang mula menghantui mereka.

 

LEAVE A REPLY