ADIRA Suhaimi
Cover image via Berita Harian

Selepas Izreen Asminda, akaun Instagram milik penyanyi Adira Suhaimi pula digodam individu tidak bertanggungjawab pada tengah malam semalam.

Adira atau nama penuhnya Siti Adira Suhaimi, 25, mengakui terkilan apabila medium media sosial yang menjadi penghubung antaranya dengan peminat turut menjadi mangsa seperti beberapa selebriti tempatan lain.

Lebih membuatkannya kesal dan terkilan kerana akaun berkenaan juga digunakan untuk tujuan perniagaan sekali gus memberi tamparan besar terhadap promosi produk keluarannya.

“Kelab peminat yang memaklumkan perkara ini sebaik akaun berkenaan digodam. Saya kesal dan terkilan kerana tidak mudah untuk mengumpul pengikut apatah lagi kejadian ini sudah berulang buat kali kedua.

“Saya difahamkan beberapa rakan dalam industri hiburan juga berdepan nasib yang sama apabila digodam baru-baru ini malah ada dikalangan mereka mempunyai jumlah pengikut lebih ramai.

“Bagi saya akaun itu penting kerana ia membolehkan saya mendekati peminat dan begitu juga sebaliknya.

Instagram ini turut berperanan membantu mempromosikan produk kecantikan milik saya,” katanya.

Pelantun lagi Cinta Teragung itu menjelaskan, buat masa ini beliau belum merancang membuka sebarang akaun baharu memandangkan dirinya enggan membebankan fikiran selain mahu menumpukan perhatian terhadap kesihatan diri yang kini hamil anak pertama.

Terdahulu, akaun Instagram milik Emma Maembong, Jihan Muse, Izreen Azminda dan beberapa selebriti popular tempatan turut menerima nasib serupa.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here