harga siling minyak

Belumpun cukup sebulan mekanisma harga siling minyak petrol secara mingguan dilaksanakan, tentangan terhadap langkah yang diambil kerajaan ini sudah mulai kedengaran. Memetik kenyataan media pembangkang kononnya pihak kerajaan lebih mengutamakan kutipan hasil penjualan minyak dalam usaha menangani ketidaktentuan ekonomi dunia lantas mengabaikan kebajikan rakyat, pada hemat penulis tuduhan tersebut sangat tidak bertanggungjawab.

Adakah rakyat sedar bahawa cadangan mekanisma sistem apungan bebas yang diguna pakai genap empat minggu merupakan antara “buah fikiran” pemimpin pembangkang kepada kerajaan sebagai langkah membendung penurunan mendadak harga minyak petrol sebelum ini? Sikap pembangkang yang menongkah arus dan berterusan menyalahkan pihak kerajaan ini tidak ubah seperti “baling batu sembunyi tangan”.

Secara amnya, pergerakan harga minyak tertakluk kepada hukum permintaan dan penawaran. Penetapan harga minyak petrol domestik kini adalah berdasarkan pergerakan harga minyak di peringkat global dan tidak lagi berada di bawah kawalan kerajaan apabila mekanisma sistem apungan bebas digunakan. Pendirian negara-negara pengeluar minyak (OPEC dan bukan OPEC), strategi pihak pembekal dan manipulasi harga oleh pengusaha stesen-stesen minyak merupakan antara faktor-faktor penentu yang mempengaruhi keseimbangan pasaran. Realitinya, keseimbangan ini amat sukar dicapai dalam situasi ketidaktentuan ekonomi yang mendominasi pasaran.

Tidak dinafikan, peningkatan harga minyak semasa akan memberi kesan terhadap peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, sekaligus mempengaruhi pendapatan individu boleh dibelanjakan (disposable income). Situasi ini amat membebankan pengguna dan mempengaruhi kemampuan mereka untuk berbelanja, terutama apabila pertumbuhan pendapatan bergerak lebih perlahan berbanding pertumbuhan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Namun, di sebalik isu kenaikan harga barang yang sering dimainkan pihak tertentu, ramai yang tidak menyedari bahawa Malaysia adalah antara negara di mana kerajaannya turut campur tangan mengawal harga barang, terutama menerusi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Penguatkuasaan menerusi undang-undang seperti ini membantu mengawal kenaikan harga barang yang dibuat sewenang-wenangnya oleh para peniaga. Rakyat Malaysia harus bangkit dan sedar mengenai hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna dan memainkan peranan yang lebih proaktif dengan memberi tekanan ke atas peniaga yang menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati. Hanya dengan melaksanakan hak sebagai pengguna, maka perubahan yang diinginkan dapat dizahirkan.

Kerajaan perlu bertindak lebih tegas terhadap para peniaga yang masih berdegil dan gagal mematuhi undang-undang melalui langkah penguatkuasaan. Malah, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pernah mencadangkan langkah proaktif diambil kerajaan dengan mengawal harga barangan di peringkat pengeluar dan pembekal. Sudah tiba masanya pengeluar dan pembekal yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan dikenakan tindakan keras atau denda yang maksimum.

Maka, tidak adil pihak kerajaan dikatakan “lepas tangan” dan tidak mempedulikan rintihan rakyat yang terkesan dengan peningkatan harga barangan susulan kenaikan harga minyak. Berkaitan isu rasionalisasi subsidi minyak, langkah ini diambil bagi mengelakkan keistimewaan subsidi kerajaan dinikmati oleh para penyeludup dari negara jiran dan lebih menguntungkan pemilik kenderaan mewah. Sedangkan tujuan sebenar subsidi ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Demi membantu meningkatkan pendapatan rakyat, pelbagai inisiatif diwujudkan oleh kerajaan melalui TEKUN, TERAJU, SUPERB, MARA, Dana Usahawan Muda, e-Rezeki, Dana Mudahcara dan TUKAR. Walaupun usaha ini kelihatan kecil, namun ia memberi impak dalam usaha kerajaan menangani isu kos sara hidup rakyat.

Suara-suara sumbang yang berterusan mempertikai keupayaan kerajaan menguruskan ekonomi negara sudah acapkali kedengaran. Isu yang menyentuh denyut nadi rakyat seperti kenaikan harga minyak dan barangan amat mudah dieksploitasi sebagai modal pihak pembangkang meraih perhatian dan sokongan rakyat bagi “membantai” kerajaan yang dikatakan gagal menguruskan ekonomi dengan baik.

Persoalannya, jika pihak pembangkang yang memegang tampuk pemerintahan negara, bolehkah segala permasalahan rakyat diselesaikan dengan lebih efisien? Lihatlah prestasi pihak pembangkang di negeri-negeri yang ditadbir mereka. Pembangkang boleh cakap apa sahaja, namun rakyat sebagai hakim boleh membuat penilaian terhadap pencapaian yang selalu digembar-gemburkan pihak pembangkang.

Baca lagi: Projek Rumah Mampu Milik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here