industri

INDUSTRI Kecil dan Sederhana (IKS) adalah komponen yang penting di dalam ekonomi negara terutamanya dari sudut sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sumbangan IKS terhadap KDNK terus meningkat dari 29 peratus pada tahun 2004 kepada melebihi 30 peratus untuk masa kini dan dijangka mencecah 41 peratus pada tahun 2020. Sumbangan terhadap pekerjaan dijangka meningkat dari paras di bawah 60 peratus kini kepada 62 peratus menjelang 2020. Manakala sumbangan terhadap eksport dijangka mencecah 25 peratus pada tahun 2020.

Berikutan peranan dan sumbangan besar sektor ini kepada ekonomi negara, kerajaan menjadikan pembangunan IKS sebagai satu agenda utama negara dan sumber yang penting ke arah mengubah model ekonomi Malaysia kepada model ekonomi baru yang berpandapatan tinggi. Berlandaskan laluan model pertumbuhan ekonomi, Malaysia menfokuskan aspek penjanaan pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan kecekapan produktiviti. Dalam pembangunan IKS, kecekapan produktiviti amatlah ditekankan dan merupakan salah satu daripada faktor yang menyumbang kepada kejayaan industri ini. Ini juga telah terbukti di kebanyakan negara luar.

industriSokongan kerajaan tidak kurang pentingnya dalam mempengaruhi kejayaan IKS. Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi telah mengambil pelbagai inisiatif dan program untuk menyokong pembangunan IKS. Ini bertujuan untuk menggalakkan pembangunan IKS yang berdaya saing dan berdaya tahan ke arah meningkatkan sumbangan IKS kepada ekonomi negara. Contohnya, Small and Medium Industries Development Corporation (SMIDEC) ditubuhkan bagi meggalakan pembangunan IKS melalui penyediaan khidmat nasihat, infrastruktur, capaian pasaran, dan khidmat bantuan kewangan.

Selain itu,suntikan dan dasar mesra perniagaan yang dilaksanakan oleh kerajaan banyak membantu kepesatan IKS. Berdasarkan kepada Pelan Induk IKS 2012-2020, lebih banyak syarikat baharu akan dilahirkan dalam landskap perniagaan negara dan pelan ini juga bagi memastikan sektor IKS dapat berdaya saing dan memacu pertumbuhan ekonomi domestik.

Untuk memudahkan dan membantu IKS dalam perniagaan, kerajaan turut mengadakan kempen yang bermatlamat untuk mempromosikan dan memperkukuhkan kepentingan jenama IKS. Ini akan menggalakkan pengusaha IKS untuk memanfaatkan penjenamaan bagi memasarkan produk dan perkhidmatan ke peringkat yang lebih tinggi dan meneroka peluang pasaran pada peringkat global. Kempen yang dijalankan ini akan dapat membantu IKS dalam membangunkan dan mempromosikan jenama keluaran mereka di samping dapat mempamerkan produk kepada orang awam melalui iklan-iklan di media cetak dan elektronik.

industriIKS bukan sahaja dapat menarik pengusaha baru untuk menceburi bidang perniagaan malah turut memainkan peranan dalam membantu masyarakat dengan memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negara. Namun begitu, terdapat pelbagai halangan dan cabaran kepada IKS antaranya kekurangan mendapatkan modal seperti tanah, jentera dan buruh. Selain itu, syarat-syarat pinjaman yang ketat daripada bank-bank swasta, skop pasaran yang terhad, ketidaktentuan harga bahan mentah dan kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah pada musim tertentu turut menyekat perkembangan industri ini.

Lantaran itu, bantuan dan sokongan daripada kerajaan dan pelbagai pihak amat diperlukan dalam memajukan sektor IKS seterusnya menyumbang kepada kejayaan industri tersebut. Usaha dan perancangan yang telah dilakukan oleh kerajaan tidak mencukupi jika tiada kesungguhan dari pihak pengusaha dan usahawan IKS sendiri. Perkara ini perlu diberi perhatian bagi memastikan IKS terus berkembang dan menjadi kepada penyumbang utama pendapatan negara.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here