Sumber imej: themalaysianreserve.com

Pengurangan mata Kadar Dasar Semalaman (OPR) serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dilaksana semata-mata untuk merangsang perbelanjaan domestik.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata pengurangan OPR sebanyak 25 mata yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menunjukkan kesan selepas tempoh tertentu.

Katanya, langkah itu akan mengurangkan jumlah faedah pinjaman bank, sekali gus memberi manfaat kepada pelbagai industri dan individu untuk menjelaskan pinjaman kewangan dengan kadar lebih rendah.

“Apabila kadar faedah turun selaras pengurangan OPR, orang ramai dan industri mempunyai lebihan pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan dalam negara. “Sehubungan itu, pengurangan mata OPR tidak akan mengubah ekonomi negara dalam tempoh singkat, khususnya dalam perbelanjaan domestik kerana ia membabitkan rantaian kesan antara sistem perbankan dan pengguna.

“Kita akan memantau keadaan ekonomi setiap suku tahun sebelum sebarang pengumuman lanjut dibuat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Semarak Komuniti 1Malaysia dan Kembara Jalur Gemilang Parlimen Titiwangsa, Setiawangsa dan Wangsa Maju 2016, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Kuala Lumpur, Mohd Taip Ubah; Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Hamdan Mohd Yusoff.

Johari turut menjelaskan bahawa kerajaan tidak bercadang menaik atau mengurangkan kadar GST bagi memberi ruang pelarasan dalam kalangan rakyat sejak sistem percukaian itu dilaksanakan pada 1 April, tahun lalu.

Katanya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah menjaga kebajikan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) untuk mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat di negara ini.

SOURCEBHOnline
SHARE
Previous articleRinggit Dijangka Mengukuh Hasil Pemulihan Harga Minyak
Next articlePAS Saman Sarawak Report Ke Mahkamah England
Seorang kolumnis bebas yang berasal dari hutan batu KL. Ruang lingkup dunia tanpa sempadan pada masa kini menjadikan saya sebagai seorang kaki travel bajet dan 'foodie in the making'. Pada masa bosan-bosan akan melayan update 'trending' netizen... Saya sangat berminat dengan perkembangan pertahanan dan politik domestik serta global. Nak berbalah boleh tapi biarlah dalam 'mode' yang bertamadun ye...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here