sharnaaz ahmad
Cover image via umikasum.blogspot.com

MEMULAKAN langkah sebagai anak seni sekitar tujuh tahun lalu telah membuka haluan baharu buat pelakon kelahiran Pulau Pinang ini terus melebarkan sayap dalam industri hiburan tanah air. Tidak hanya terlalu bergantung kepada paras rupa yang kacak, mutu lakonan Sharnaaz Ahmad saban tahun dilihat semakin mempamerkan impak mempesonakan terutama saat membawakan watak antagonis.

Biarpun dilabelkan sebagai lelaki ‘ganas’ dan dikenali dengan sikap panas baran, ironinya pelakon berusia 31 tahun itu tetap mempunyai sisi humor serta gemar berjenaka.

Sering dilemparkan dengan pandangan negatif, Sharnaaz tidak membiarkan perkara itu mengganggu-gugat perjalanan kerjaya seni yang dibina sejak tahun 2009.

Menjadikan kepayahan dalam memburu cita-cita sebagai seorang pelakon serba boleh membuatkan Sharnaaz berusaha gigih demi memperkukuhkan portfolio seninya.

Membuktikan cabang kerjaya seninya semakin bercambah dengan bermula sebagai pelakon, seterusnya kepada dunia pengarahan, penerbit dan pengacara.

Kini, rezeki pelakon drama rantaian Bukan Kerana Aku Tak Cinta itu buat julung-julung kalinya dilantik sebagai duta produk rangkaian pembersih muka Men’s Biore Double Scrub.

Mengakui telah mencuba sendiri produk tersebut selama tujuh bulan, nyata ia bukan satu usaha sia-sia apabila dia sendiri merasai perubahan positif pada kulit wajah.

“Saya teruja dan berterima kasih kepada pihak mereka yang telah melantik saya sebagai duta produk dan Insya-Allah akan berusaha gigih untuk menjayakan kempen sebaik mungkin.

“Setelah hampir tujuh tahun dalam industri ini merupakan tawaran pertama buat saya menggalas tanggungjawab sebagai duta produk,” jelas Sharnaaz yang dilantik sebagai wajah Men’s Biore Double Scrub selama dua tahun.

Berkahwin

Tampil bergaya dengan mengenakan sepasang sut berona hitam, Sharnaaz tidak dapat menyembunyikan emosi bahagia menyulam cinta dengan kekasih hati, Noor Nabila.

Wanita yang merupakan kakak kepada personaliti popular Neelofa itu bukan lagi rahsia dan Sharnaaz sendiri mengakui mempunyai perancangan untuk mengakhiri hubungan mereka ke gerbang perkahwinan.

Jelas terpancar aura bahagia pada wajahnya, Sharnaaz memberitahu bahawa khabar gembira itu akan dikongsikan bersama peminat apabila masanya telah tiba.

Meskipun terbuka apabila diminta berbicara soal cinta, Sharnaaz bagaimanapun lebih mementingkan hak privasi apabila melibatkan perihal perkahwinan.

“Sememangnya benar hubungan cinta saya dan Nabila bukan lagi satu rahsia tetapi perancangan perkahwinan itu biarlah ia berlaku antara kami berdua dan kedua-dua belah pihak keluarga.

“Bukan berniat untuk berahsia tetapi ia agak peribadi untuk terlalu diperkatakan kepada umum kerana bimbang akan mengecewakan hati banyak pihak sekiranya apa yang dirancang tidak menjadi.

“Sekiranya ada jodoh antara kami, Insya-Allah saya pasti akan berkongsikan berita baik itu kepada media dan peminat,” kata Sharnaaz bersahaja.

Biarpun bersahaja namun riak wajah Sharnaaz mempamerkan kesungguhan saat dia meluahkan hasrat kesediaannya untuk bergelar suami.

Panas baran

Dalam sibuk menjalani sesi penggambaran telemovie berjudul Yang Terakhir Untuk Ku, Shanaaz turut tidak terlepas daripada percikan kontroversi dunia hiburan.

Mengakui dirinya tidak lagi ‘dingin’ seperti yang diperkatakan sebelum ini, Sharnaaz tetap menjadi buruan apabila timbul perkhabaran kurang enak terutama melibatkan kejadian pukul kekasih.

Minggu lalu satu ruangan pojok mengatakan seorang selebriti popular tanah air didakwa telah memukul kekasihnya ekoran ‘naik hantu’ apabila mengetahui teman wanitanya itu tidak ada di rumah.

Ditebak sama ada pelaku berkenaan merupakan dirinya, Sharnaaz nyata tidak mudah melatah apabila diajukan soalan sebegitu.

Menghela nafas sedalam mungkin sebelum melemparkan senyuman, Sharnaaz menafikan individu tersebut merupakan dirinya malah dia turut mengakui tidak mengetahui mengenai berita tersebut.

“Sejujurnya saya tidak mengetahui akan berita tersebut dan individu itu juga bukanlah diri saya.

“Tidak dinafikan apabila berita sebegini timbul umum pasti akan mentafsir pelaku tersebut merupakan diri saya mungkin kerana disebabkan tindakan saya dahulu.

“Bagaimanapun apa yang boleh saya katakan ialah jika insiden itu berlaku, mereka harus siasat mengapa individu tersebut sanggup mencederakan wanita berkenaan,” jelas Sharnaaz bersungguh-sungguh.

Tanpa mengukirkan senyuman di bibir, dalam nada tegas Sharnaaz meluahkan tindakan memukul wanita tidak wajar dilakukan oleh lelaki.

Sharnaaz turut berpendapat kesalahan memukul itu juga tidak seharusnya diletakkan di atas bahu pihak lelaki sahaja terutama melibatkan kaum Hawa yang menjadi mangsa.

Disifatkan sebagai kaum yang lemah, berita keganasan terhadap wanita sering mendapat perhatian umum tetapi jika sebaliknya berlaku, pasti lelaki itu akan dipandang serong oleh masyarakat.

“Memang benar seorang lelaki itu tidak mempunyai hak untuk memukul wanita lebih-lebih lagi yang bukan mahram. Tetapi mereka seharusnya menyiasat terlebih dulu mengapa wanita itu menjadi mangsa,” tambahnya.

Mengakui masih tersisa sikap panas baran dalam dirinya, Sharnaaz bagaimanapun berusaha mengubah sikap tersebut dan menjadi individu yang lebih sabar serta tidak mudah marah.

Sering mendapat nasihat daripada ahli keluarga yang lain, pelakon filem Darah Panas itu berusaha untuk tidak menyakiti individu yang dekat dengannya terutama insan istimewa dalam hidupnya.

LEAVE A REPLY