UMP

KUANTAN, 11 Nov — Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan menganugerahi Ijazah Kehormat kepada dua tokoh kejuruteraan termasuk rektor sebuah universiti di Jerman pada majlis konvokesyen ke-11 universiti itu pada Sabtu minggu depan.

Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata mereka ialah Karl-Heinz Meisel yang merupakan Rektor Karlsruhe University of Applied Sciences (HsKA), Jerman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) Datuk Aminar Rashid Salleh yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah UMP.

Beliau berkata Meisel akan dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Mekatronik) manakala Aminar Rashid Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Automotif).

Katanya pengiktirafan itu sebagai menghargai perkhidmatan cemerlang kedua-dua tokoh berkenaan dalam bidang kejuruteraan mekatronik dan automotif di negara ini.

“Kerjasama strategik universiti ini┬ádan HsKA dalam membangunkan program dwiijazah di peringkat Sarjana Muda bagi bidang Kejuruteraan Automotif dan Kejuruteraan Mekatronik mula dimeterai sejak tahun 2010,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya perkembangan itu adalah hasil daya usaha Meisel bersama-sama bekas Duta Besar Jerman Dr Gunter Geog Gruber bagi mengembangkan model pendidikan kejuruteraan Jerman ke dalam sistem pendidikan kejuruteraan di UMP.

Menurut Daing Nasir, keberkesanan sistem itu dalam melahirkan graduan kejuruteraan yang kompeten di Jerman dilihat sebagai model terbaik universiti mereka bagi menerajui pendidikan kejuruteraan bersesuaian dengan tarafnya sebagai satu daripada universiti awam dalam Jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“Penghormatan kepada Aminar pula adalah sebagai menghargai kepimpinan dan pandangan beliau berhubung hala tuju strategik UMP serta pelbagai lapangan lain terutamanya dalam konteks perkongsian pintar dalam pembangunan industri automotif di negara ini,” katanya.

Sebanyak 2,465 graduan UMP bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada majlis konvokesyen ke-11 itu yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 19 Nov di Dewan Kompleks Sukan Universiti, Kampus Gambang.

Majlis konvokesyen kali ini turut mencatatkan sejarah apabila sebanyak 19 graduan program dwiijazah bakal bergraduat hasil kerjasama UMP dan HsKA.

LEAVE A REPLY