ifa raziah
Cover image via Harian Metro

Tidak mudah untuk penyanyi Malaysia memecah tembok industri muzik Indonesia. Namun, tahun ini sekali lagi memperlihatkan nama anak seni Malaysia mula menempa nama di sana. Seorang daripadanya ialah Ifa Raziah yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pengkritik program realiti D’Academy Asia musim kedua (DAA2) di Indonesia.

Walaupun baru memulakan tugas sebagai pengkritik sejak 23 Oktober lalu, Ifa sudah dikecam pelbagai pihak apabila ada yang mengatakan dia terlalu ‘berdrama’ ketika memberikan komen.

“Memang format program ini tidak sama seperti program realiti di Malaysia. Pihak produksi sendiri iaitu Indosiar yang meminta supaya saya dan semua pengkritik menyelitkan drama. Perlu ada elemen kontroversi dan humor dalam komen kami.

“Kalau boleh mereka mahukan sedikit lakonan dan pergaduhan ketika kami memberikan komen. Kalau sekadar komen biasa-biasa mengenai persembahan dan nyanyian, lima minit pun sudah mencukupi tapi kami diberi masa satu jam untuk memberi komen kepada setiap peserta,” katanya.

Menurut Ifa, penonton Malaysia mungkin tidak faham format ini dan menganggap dia berlebih-lebih ketika melontarkan komen.

“Dua hari pertama saya berada di kerusi pengkritik, saya berikan komen yang baik-baik sahaja sehinggalah penerbit program DAA2 meminta saya memberikan komen yang ‘pedas’. Saya suka menghiburkan penonton dan buat semua orang gembira,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan ada penonton Indonesia yang menghentamnya, Ifa menafikan dakwaan itu.

“Rata-rata, ramai penonton Indonesia yang memuji kerana kata mereka, saya membawa kelainan pada rancangan ini. Mereka tidak tertekan apabila menonton DAA2 berbanding musim sebelum ini.

“Saya sebagai manusia tak akan mampu memuaskan hati semua orang. Apa yang saya mampu lakukan adalah berikan yang terbaik, berkongsi idea melalui komen dan mengikut permintaan produksi,” katanya.

Menurut Ifa, rakan setugasnya dari Indonesia, penyanyi dangdut Inul Daratista juga banyak berkongsi tip dan memberi galakan supaya supaya tidak terlalu tertekan dengan komen daripada penonton.

“Inul sentiasa memberikan galakan kepada saya. Antara kata-katanya yang saya sentiasa ingat adalah, ‘kalau ada orang yang menghentam, tanya mereka, kau di mana dan aku di mana?’” katanya.

Ifa juga meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang untuk muncul dalam program TV Indonesia kerana baginya, ia adalah platform yang baik untuk mengembangkan sayap kerjayanya.

“Sukar untuk kita menembusi pasaran Indonesia kerana mereka lebih berselera dengan hiburan tempatan mereka. Apa yang saya buat sekarang adalah memahami kehendak mereka dan cuba mengadaptasi diri dengan budaya mereka.

“Terima kasih juga kepada pihak Indosiar yang memberi kepercayaan kepada saya menjadi pengkritik. Cara mereka bekerja di sini sangat profesional dan tenang,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY