hutang
Foto hadapan oleh Berita Daily

MALAYSIA merekodkan peratusan hutang isi rumah sebanyak 89.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2015 berbanding 86.8 peratus daripada KDNK pada tahun 2014. Walaupun peningkatan peratusan yang dicatatkan adalah kecil, rakyat Malaysia tidak seharusnya memandang remeh isu tersebut. Kajian Indeks Sentimen Pelabur Manulife (MISI) mendapati 68 peratus rakyat Malaysia dibebani hutang dan meletakkan Malaysia dalam kelompok negara di Asia yang mempunyai kadar hutang isi rumah yang tinggi.

Menerusi tinjauan yang dilakukan dari sudut pengurusan hutang dalam kalangan rakyat Malaysia, ternyata ia amat membimbangkan. Sejumlah 148,830 atau 35.5 peratus daripada 418,941 pelanggan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mempunyai masalah hutang, menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) dan hanya 9,937 kes atau 6.68 peratus sahaja berjaya diselesaikan dengan jumlah keseluruhan RM407.9 juta.

HUTANGKebanyakan mereka membuat pinjaman bank dan menggunakan kad kredit untuk membuat pembelian mengikut trend selain bagi tujuan membeli kereta dan membayar pinjaman perumahan. Kecenderungan masyarakat terutamanya golongan muda dalam berbelanja dan berhutang melebihi pendapatan turut menyumbang kepada kenaikan hutang isi rumah secara keseluruhan. Peningkatan kes muflis kebelakangan ini juga adalah petanda awal tentang tahap permasalahan berkaitan isu ini.

Peningkatan kos sara hidup berbanding pendapatan isi rumah yang masih rendah turut mendorong rakyat Malaysia berhutang. Selain itu, mereka juga terpaksa berhutang untuk membeli keperluan hidup yang tidak boleh dielakkan seperti kenderaan, rumah dan kelengkapan lain. Hal ini sama sekali tidak dapat dinafikan.

Namun begitu, jika diamati secara saksama, sebenarnya kebanyakan isi rumah pada masa kini dilihat hidup di luar kemampuan pendapatan mereka hingga menyebabkan mereka terpaksa menanggung hutang akibat berbelanja secara berlebihan. Tiada gunanya falsafah “biar papa asal bergaya” kerana pada akhirnya bebanan hutang yang ditanggung akan membawa keburukan kepada diri sendiri. Malah, apa jua bentuk bantuan dihulurkan dan inisiatif diberikan oleh mana-mana pihak dilihat masih tidak mencukupi dan tidak merubah statistik hutang rakyat Malaysia.

HUTANG
Kadar pengangguran di Malaysia semakin meningkat saban tahun

Peningkatan hutang isi rumah yang berterusan boleh memberikan impak besar berdasarkan dua sebab yang utama. Pertama, hutang isi rumah yang tinggi disertai krisis kewangan akan meningkatkan kadar pengangguran dan kehilangan pendapatan di mana ia akan memburukkan lagi krisis sedia ada. Kedua, hutang isi rumah yang tinggi mendedahkan isi rumah kepada risiko turun naik dalam ekonomi. Oleh kerana isi rumah perlu memperuntukkan sebahagian besar daripada upah yang diperoleh untuk pembayaran balik hutang, kejutan dalam tingkat pendapatan seperti kejatuhan upah akan meningkatkan risiko tunggakan dan kegagalan untuk membayar balik hutang.

Masyarakat sewajarnya berasa bimbang jika hutang yang ditanggung menjadi semakin besar kerana ketidakupayaan mereka mengurus kewangan secara berhemat. Pendidikan pengurusan kewangan perlu dipergiatkan kepada golongan isi rumah di mana pendidikan tersebut merangkumi perbincangan dan amalan pengurusan kewangan yang asas seperti belanjawan, perbelanjaan, penggunaan kredit, tabungan dan pembuatan keputusan untuk mengambil hutang.

Dengan keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu dan perkembangan ekonomi yang perlahan, individu harus merancang pergerakan kewangan secara teratur bagi mengelakkan dari dibebani terlalu banyak hutang. Kita dikurniakan akal bagi membuat sebaik-baik pertimbangan di antara keperluan dan kehendak. Justeru, pertimbangan yang salah akan menyebabkan masalah menimpa. Kesedaran untuk mengawal pendapatan dan kuasa perbelanjaan seharusnya mengikut keperluan diri sendiri.

 

LEAVE A REPLY