hubungan diplomatik

Hubungan baik dan diplomatik yang telah terbina dan terjalin diantara Malaysia dan Qatar  selama ini tidak seharusnya menjadi pertikaian oleh mana – mana pihak malah ia harus ditingkatkan lagi dari masa ke semasa.

Semenjak negara Qatar menjadi sasaran segelintir negara – negara Arab yang telah mengambil keputusan drastik dengan memutuskan hubungan diplomatik dengannya, banyak pihak mula tertanya – tanya sama ada Malaysia ingin mengikuti jejak langkah negara – negara Arab terbabit untuk menilai semula hubungan diplomatiknya dengan negara Qatar.

Perlu diingatkan fokus menilai semula sebarang hubungan diplomatik tidak perlu mensasarkan negara Qatar. Negara yang perlu menjadi sasaran utama sekiranya kita ingin menilai semula hubungan diplomatik negara kita adalah negara Myanmar dan Korea Utara.

Seperti yang diketahui umum, semenjak kebelakangan ini banyak isu jenayah kemanusiaan telah dilemparkan terhadap negara Myanmar khusus yang membabitkan nasib yang menimpa puak etnik Rohingya yang telah menjadi sasaran kumpulan junta tentera negara terbabit serta golongan ekstremis agama buat sekian lama.

Ramai diantara rakyat etnik Rohingya telah melarikan diri mereka ke negara – negara jiran termasuk Malaysia bagi menyelamatkan diri mereka dari usaha penindasan dan penghapusan etnik yang dilihat berlaku di sana.

Mengikut rekod kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, nasib buruk yang menimpa etnik terbabit telah berlaku semenjak zaman pemerintahan junta tentera sekitar tahun 1970an malah ada yang menyatakan bahawa nasib buruk yang diterima mereka telah berlaku lebih awal lagi.

Jika benar ianya berlaku semenjak sekian lama, adalah menjadi kekuatiran semua pihak nasib yang menimpa etnik minoriti berkenaan boleh menjadi satu isu kemanusiaan yang besar serta memerlukan campur tangan asing dengan segera.

Malaysia pun telah mengambil beberapa langkah drastik bagi menghulurkan bantuan dan menyatakan sokongan terhadap etnik Rohingya namun ia sering kali dipandang rendah dan oleh kerajaan Myanmar.

Perkara yang sama juga berlaku dengan negara Korea Utara baru – baru ini yang melibatkan insiden misteri pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Semenjak peristiwa pembunuhan Kim Jong Nam pada 13 Februari yang lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pelbagai jenis cemuhan dan tomahan telah dilemparkan oleh pihak duta Korea Utara serta kerajaan Korea Utara terhadap kerajaan Malaysia yang sedang giat menjalankan proses siasatan terhadap insiden misteri pembunuhan berkenaan.

Duta Korea Utara di Malaysia bukan sahaja dilihat tidak membantu terhadap kes pembunuhan berkenaan malah turut telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang dianggap menghina Malaysia seperti kenyataan tidak percaya terhadap usaha siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa negara ini serta tuduhan negara ini bersengkongkol dengan negara musuh ketatnya seperti Korea Selatan dan Amerika Syarikat mengenai isu pembunuhan Kim Jong Nam berkenaan.

Berdasarkan perkara ini, Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat perlu menyatakan pendirian yang lebih keras terhadap negara Myanmar dan Korea Utara.

Fokus utama terhadap sebarang proses penilaian semual hubungan diplomatik harus diberikan terhadap dua negara yang telah dinyatakan diatas iaitu negara Myanmar dan Korea Utara bukannya terhadap negara Qatar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here