Hero

SETAKAT Februari 2017, sejumlah 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum berdaftar sebagai pengundi.

Jumlah itu merangkumi pelbagai kaum yang majoritinya terdiri golongan muda berumur sekitar 21 tahun.

Ini bermakna seramai 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang didapati masih belum mendaftarkan diri sebagai pengundi.

Jumlah itu adalah sesuatu yang cukup serius dan tidak sepatutnya berlaku.

Daripada jumlah 4.1 juta itu juga, anak muda Melayu dikesan paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi.

Perkara itu bukan perkara baharu, tetapi telah lama berlarutan.

Sehingga kini, masih tiada kesedaran dalam kalangan golongan muda terutama Melayu untuk mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi.

Persoalannya, kenapa golongan muda Melayu tidak mahu berbuat demikian?

Adakah mereka tidak mengetahui kepentingan mengundi?

Pilihan raya adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang amat penting untuk sesebuah negara yang merdeka.

Melalui pilihan raya, rakyat diberi peluang secara bebas untuk memilih dan menentukan parti mana yang layak memerintah negara.

Justeru, setiap rakyat yang layak wajib mendaftar dan keluar mengundi ketika pilihan raya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, SPR kini mengambil langkah bekerjasama dengan pihak swasta bagi menganjurkan pelbagai program dalam menarik minat rakyat untuk berdaftar sebagai pengundi terutama kepada golongan sasar.

Berdasarkan statistik terkini itu jelasnya, kira-kira 45 peratus daripada rakyat Malaysia adalah golongan muda dan lebih empat juta daripadanya tidak berdaftar sebagai pengundi dan ini adalah satu kebimbangan.

Tegasnya, jika tidak berdaftar sebagai pengundi, tidak guna untuk bercakap di media sosial (berkaitan situasi politik negara), kalau apa yang dicakapkan itu tidak diterjemah di dalam bentuk undi.

Berbeza situasi dengan kaum lain, kita dapat lihat DAP misalnya agresif merancakkan kempen-kempen bagi menggalakan kaum Cina mendaftar sebagai pengundi.

Tetapi orang Melayu seakan-akan tidak mengendahkan peranan politik yang harus mereka mainkan.

Apa yang lebih diminati orang Melayu khususnya anak muda?

Orang Melayu hanya berminat dengan hiburan di kaca televisyen dan internet sekali gus tidak mahu terbabit secara langsung sebagai kuasa penentu politik di negara.

Jadi, apa makna kaum Melayu dan bumiputera menjadi majoriti?

Sudah tidak bermakna lagi andai kata apabila tiba pilihan raya, kita langsung tidak keluar mengundi.

Di Kuala Lumpur sebagai contoh, kaum Melayu yang layak mengundi adalah sebanyak 50 peratus, namun mereka yang mendaftarkan diri sebagai pengundi hanya 37.5 peratus.

Berbalik kepada golongan muda Melayu, kita dapat melihat jika terdapat sebarang isu dalam negara, mereka pasti yang pertama akan menonjolkan diri.

Bukan sahaja di dalam perhimpunan atau demonstrasi yang diadakan, kita juga dapat melihat golongan muda ini begitu aktif di laman media sosial.

Sebagai contoh, di laman sosial, golongan mudalah yang sering mengkritik dan menegur tindakan beberapa pemimpin parti politik.

Mereka jugalah jaguh dalam memberi pelbagai pandangan untuk mengatasi segala isu yang melanda negara daripada Cukai Barang dan Perkhidmataj (GST) sehinggalah perihal harga minyak dunia.

Golongan muda juga yang sering meluahkan perasaan kecewa melihat perbalahan politik yang tidak henti-henti di medan sosial antara Barisan Nasional (BN), PAS dan Pakatan Harapan.

Namun, apabila tiba PRU14 nanti, golongan muda ini hanya berpeluk tubuh.

Itu bukanlah penyelesaian kepada kemelut politik yang sedang melanda.

Anak muda Melayu tidak boleh lagi berdiam diri di rumah ketika hari mengundi sambil berbaring di atas katil dan melihat status-status dan gambar Instagram atau Facebook rakan-rakan yang keluar mengundi.

Jangan nanti kita hanya menang sorak di Facebook, tetapi kampung yang sebenar pula tergadai.

Adakah anak muda Melayu sekadar menjadi ‘hero’ di laman media sosial?

Tepuk dada tanya dan diri masing-masing kerana keputusan di tangan kita sendiri.

Sepatutnya anak muda Melayu mencontohi golongan muda kaum Cina dan India yang semakin sedar tentang kepentingan untuk mengundi.

Anak muda Cina dan India tidak mahu melepaskan hak mereka sebagai pengundi.

Bagaimana pula kita sebagai anak muda Melayu, di mana kesedaran kita?

Sudah sampai masanya anak muda Melayu mengambil peranan yang lebih aktif untuk menghidupkan amalan demokrasi yang penting ini.

Tindakan kita seharusnya lebih realistik dan strategik untuk memastikan kepentingan orang Melayu dan umat Islam terus terbela.

Andai kata anda layak tetapi belum mendaftar mengundi, daftarlah sekarang.

Jangan hanya ‘bising’ di laman sosial namun hakikatnya tidak mendaftar lagi sebagai pengundi.

1 COMMENT

  1. apa kejadah guna istilah anak muda melayu ni. universal la sikit.. tak kira orang tu etnik apapun ada kemungkinan tidak berdaftar dan keluar mengundi.. memang la artikel ni ditulis dalam bahasa melayu, dengan harapan sasaran pembacanya “orang melayu”. nak cerita pasal daftar pengundi ke keluar mengundi ke, takyah la mention “melayu”, “melayu”, “melayu”.. merepek faham?

    ni nak korek sikit apehal la anak muda ke orang tua ke yang serba salah nak daftar mengundi dan keluar mengundi.. first off, kena faham hidup cara nomad.. hidup pindah randah.. lahir tempat lain, bersekolah tempat lain, bekerja tempat lain.. tempat lain tu bukannya menetap dalam satu negeri yang sama je sepanjang hayat, tapi berhijrahlah sesuka hati ke mana-mana negeri lain jika diizinkan Tuhan.. patutnya kerajaan kena kaji isu ni dan bagi solution.. solution yang sebetulnya membenarkan pengundi mendaftar pada hari mengundi. lebih-lebih lagi pelajar yang duduk dorm, pekerja yang kena transfer merata-rata tempat, orang yang duduk rumah sewa, orang yang pergi vacation overseas.. mana nak tentu dia boleh balik mengundi ikut alamat outdated dia. pilihan raya bukannya tetap 5 tahun sekali, pm dengan nasihat team belakang tabir dia boleh je sesuka hati buat kejutan nak umum bila-bila masa yang sesuai untuk buat election.. so sebab halangan tak boleh mengundi ketika hari mengundi.. itulah yang mempengaruhi turnout.. patutnya selagi orang tu masih warganegara malaysia, dia mesti diberi hak memangkah kertas undi dan membuktikan dirinya masih hidup dan memunculkan jasad badannya di polling station. apa cara untuk mengelak orang tu mengundi dua kali di tempat yang sama atau tempat lain.. kan dah ada dakwat kekal tu.. dakwat tu bukannya hilang lepas cuci dengan sabun.. dakwat kekal tu bukannya tatu.. lepas beberapa minggu akan pudarlah warnanya.. dakwat kekal yang dicalit pada jari pengundilah membuktikan orang itu telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai warganegara pergi daftar mengundi dan keluar mengundi.. p/s hanya warganegara malaysia yang ada mykad genuine boleh daftar, yang hilang mykad ke yang belum ada mykad tu takyahla wat kecoh pergi munculkan diri di polling station.. mat bangla ke mat indon ke mat arab ke minah pan asian ke orang puteh ke orang hitam ke hatta sesiapa manusia yang lahir di luar negara malaysia ke kalau betul dah sah jadi warganegara malaysia dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada yang di-pertuan agong, tidak dihalang untuk mengundi di bumi malaysia ni.. mereka pun bukannya nak balik mengundi di negara asal pun. k sekian di sini saja. sayang muah muah muah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here