hazama
Cover image via @mrhazama1

HAMPIR empat tahun menyulam cinta bersama kekasih hati, kini penyanyi Hazama semakin dekat dengan tempoh untuk mengakhiri zaman bujang.

Bakal mengikut jejak langkah rakan lain, Hazama atau nama lengkapnya Hazama Ahmad Azmi, 32 merancang untuk mengikat tali perkahwinan bersama kekasihnya, Genervie Kam, 36 yang merupakan seorang pemuzik profesional pada hujung Disember ini.

Ditemui pada sidang akhbar pengumuman barisan mentor untuk rancangan realiti Mentor Melinea 2017 di Sri Pentas, Bandar Utama

baru -baru ini, Hazama yang masih kekal sebagai mentor dalam pertandingan itu berkongsi perkembangan rancangan perkahwinannya.

Pun begitu, menurut penyanyi yang sedang popular dengan lagu Di Amaran Mama itu, dia dan Genervie akan melangsungkan majlis pernikahan secara kecil-kecilan sahaja.

Beberapa bulan lalu, Hazama pernah menyatakan hasrat menamatkan zaman bujang, jadi bagaimana dengan persiapan perkahwinan?

HAZAMA: Inilah yang saya sedang fikirkan, lokasi majlis sudah ada, secara kebetulan ia berdekatan dengan rumah saya di Setiawangsa, Kuala Lumpur. Begitupun, saya dan teman wanita akan menghadiri kursus perkahwinan terlebih dahulu pada awal bulan Disember ini. Genervie juga dalam proses untuk menukar agama, jadi saya tidak mahu terburu-buru dalam membuat persiapan.

Bila tarikh sebenar anda merancang untuk berkahwin?

Saya harap dapat bernikah pada hujung bulan Disember tahun ini. Bagaimanapun, tarikhnya belum diketahui lagi kerana saya terpaksa menunggu kekosongan jadual jurunikah. Buat pengetahuan, saya akan melangsungkan majlis pernikahan secara kecil-kecilan sahaja dengan bernikah di pejabat agama. Saya ingin menunaikan perkara wajib dahulu. Berhubung majlis sanding mungkin akan diadakan sama ada dua atau tiga bulan selepas bernikah.

Bagaimana dengan penerimaan keluarga serta teman wanita?

Sebenarnya, soal melangsungkan perkahwinan ini memerlukan persediaan yang besar. Saya bukan tidak mahu mengadakan majlis, tetapi perlu melihat keadaan ekonomi dan kewangan. Justeru, lebih baik saya berjimat dan menyimpan duit yang harus digunakan untuk majlis itu nanti kepada kegunaan kehidupan selepas berkahwin. Keluarga saya dan teman wanita juga bersetuju dengan keputusan ini kerana apa yang penting adalah kebahagiaan anak mereka.

Bagaimana sekiranya ada pihak yang ingin menaja majlis perkahwinan anda?

Secara jujur, saya bukan tidak mahu menerima tajaan tetapi seperti diketahui apabila diberi tajaan ia bermakna saya akan terikat dengan komitmen. Saya tidak mahu terikat dengan sebarang komitmen pada hari perkahwinan kerana ia akan menambahkan tekanan buat saya dan bakal isteri. Biarlah majlis pernikahan itu nanti berlangsung secara aman dan tenang.

Apabila mengambil keputusan bernikah di pejabat agama, adakah anda tidak kisah dengan penerimaan dan pandangan masyarakat?

Ya, saya tidak kisah sebab ia bukan kepentingan saya. Tujuan saya hidup bukan untuk berkahwin dan mengadakan majlis secara besar-besaran. Biarlah masyarakat berkata, asalkan perkara yang saya lakukan bukan benda yang salah. Lebih baik saya bernikah daripada terus menimbulkan fitnah orang. Tambahan pula, saya dan teman wanita semakin meningkat usia, jadi kami perlu berkahwin dan merancang untuk mendapatkan anak secepat mungkin. Kepada mereka yang berkata sedemikian rupa, saya percaya mereka akan berhenti apabila sudah penat.

Beralih kepada pemilihan anda sebagai mentor dalam rancangan realiti Mentor Milenia untuk musim kedua. Pada musim pertama, protege anda, Fareez berjaya diangkat sebagai juara, jadi adakah anda akan mengekalkan strategi yang sama untuk musim ini?

Sebenarnya, strategi saya bergantung kepada bakal protege yang akan saya terima nanti. Jika kelebihan bakal protege terletak pada elemen persembahan, saya akan latih dia mengikut kebolehannya. Pendek kata, saya hanya akan menggilap sahaja bakatnya, saya tidak akan mengubah dirinya.

Mengikut perancangan, anda ingin memilih protege lelaki atau perempuan?

Saya tidak kisah jika dapat protege lelaki atau perempuan. Begitupun, jika boleh saya ingin memilih protege perempuan kerana industri muzik kita kekurangan penyanyi perempuan. Sekiranya protege perempuan tidak menunjukkan bakat yang dikehendaki maka saya akan memberi fokus kepada lelaki. Ia berikutan adat pertandingan penonton yang mengundi cenderung memilih peserta lelaki. Pendek kata, saya ingin protege yang boleh mengikut tunjuk ajar semasa pertandingan berlangsung.

Bagaimana dengan perasaan anda dalam pertandingan pada musim ini?

Memang terasa sedikit tertekan apabila protege saya dinobatkan sebagai juara musim lalu. Secara tidak langsung perkara ini akan membuatkan penonton dan peminat meletakkan harapan tinggi buat saya. Ini yang buatkan saya paling risau untuk musim kedua.

Baca lagi: Hazama, Genervie Bakal Berkahwin

LEAVE A REPLY