harith iskander
Cover image via Harian Metro

Jika peminat sering melihat Harith Iskander beraksi di pentas lawak, kali ini mereka boleh menyaksikan lawak Harith di pentas Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) yang bakal berlangsung pada 18 Disember ini.

Bakal diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Harith Iskander tidak keseorangan, sebaliknya akan ditemani penyanyi Adibah Noor.

Kali pertama digandingkan di pentas berprestij itu, mereka teruja dan tidak sabar untuk beraksi.

Mereka juga sudah biasa berkongsi pentas di medan lawak dan tidak kekok untuk mewujudkan keserasian.

Berkongsi perasaan itu, Harith berkata, pengalamannya bekerjasama dengan Adibah sebelum ini akan digunakan pada malam AIM 22 itu nanti.

“Pastinya saya teruja. Sebelum ini kami pernah bekerja bersama, tetapi kali ini lebih kepada majlis yang formal. Insya-Allah elemen lawak itu akan diselitkan, tetapi masih selari dengan arah tuju program,” katanya.

Bagi Adibah pula, dia yang mengganggap Harith sebagai ‘big brother’ juga berasa teruja dan tidak sabar menanti malam itu.

“Kami sering berkongsi pentas lawak, malah di luar waktu kerja juga kami ada berjumpa. Jadi, tidak ada masalah untuk saya membina keserasian bersama Harith.

“Kami tidak mahu memberi tekanan dengan penonton terhadap lawak yang bakal disampaikan, sebaliknya kami mahu penonton lebih santai dan terhibur dengan penyampaian kami berdua sebagai pengacara,” katanya.

AIM22 akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria dan Ria HD bermula jam 9 malam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM, Rosmin Hashim berkata, pemilihan Harith dan Adibah dibuat bagi menampilkan kelainan selain itu, pihak mereka yakin dengan keserasian pasangan berkenaan ketika di atas pentas.

“Adibah bukannya baru, sebelum ini dia pernah menjadi pengacara AIM bersama Afdlin Shauki dan Bob Lokman. Melihat keserasian itu saya yakin dia adalah pilihan terbaik untuk AIM22 kali ini.

“Saya yakin mereka mampu memberikan persembahan dan kelainan yang menarik pada malam itu nanti,” katanya.

Menurut Rosmin, kemahiran komunikasi mereka bersama penonton juga adalah faktor utama pemilihan gandingan ini sebagai pengacara AIM.

Dalam pada itu, penyampai radio dan penyanyi Aril Pilus serta pengacara Shamim Farid pula dipilih menjadi pengacara untuk acara Karpet Merah AIM22.

AIM22 kali ini menampilkan persembahan artis terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Hazama, Khalifah, SonaOne, Yuna, Sufian Suhaimi, Projector Band, Ameng dan Akim & The Majistret.

Penyampai anugerah pula bakal menyaksikan kemunculan Aaron Aziz, Hafiz Suip, Amyra Rosli, Datuk M Nasir, Estranged dan Forteen.

Baca lagi: Viral Video: TMJ And Harith Iskander

LEAVE A REPLY